Sesi Perbincangan TRACSS

Tracking AMR Country Self-Assessment Survey (TrACSS) ialah satu tinjauan tahunan global yang dikendalikan secara bersama oleh pihak Quadripartite, WHO, FAO, WOAH dan UNEP untuk memantau dan menilai kemajuan sesebuah negara dalam menangani isu AMR. Menggunakan pendekatan One Health, tinjauan ini membolehkan kerajaan menilai sendiri tahap pelaksanaan pelan tindakan negara merentasi pelbagai sektor kritikal termasuk kesihatan manusia, kesihatan haiwan, pengeluaran makanan, dan alam sekitar. Data yang dikumpul melalui TrACSS berfungsi sebagai petunjuk penting untuk mengenal pasti jurang pengurusan, memandu penggubalan dasar, serta mengukuhkan strategi global dalam membendung ancaman AMR.

Unit Kawalan Infeksi selaku sekretariat NARC telah menyelaras pengisian dokumen penilaian yang telah diadakan bersama-sama sektor yang terlibat daripada pelbagai jabatan dan kementerian. Sesi ini dijalankan secara dalam talian dan telah mengenalpasti elemen-elemen penilaian dan pencapaian yang dipersetujui bersama daripada segi mekanisme penyelarasan, kesedaran dan pendidikan, sistem survelan dan makmal, pencegahan dan kawalan infeksi serta penggunaan optimum antimikrob.