World Hand Hygiene Day (WHHD) dan Training the Trainer (TTT) on Hand Hygiene Peringkat Kebangsaan 2026 telah berlangsung pada 5 hingga 6 Mei 2026 di Auditorium Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia.
Program ini merupakan anjuran Unit Kawalan Infeksi, CPRSK dengan kerjasama Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID). Majlis telah dirasmikan oleh Dr. Nor Hayati Ibrahim, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM, dan turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Nor Fadhlina Zakaria, Pengarah Urusan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia. Program ini telah disertai oleh seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada petugas kesihatan dari pelbagai zon di Malaysia, yang akan dilatih sebagai trainer untuk memperluaskan pelaksanaan amalan kebersihan tangan di fasiliti masing-masing.
Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi petugas kesihatan dalam amalan kebersihan tangan melalui pemahaman konsep WHO “My 5 Moments for Hand Hygiene” serta teknik yang betul dalam persekitaran klinikal. Selain itu, pendekatan Training the Trainers (TTT) digunakan bagi memperkukuh keupayaan peserta sebagai jurulatih dalam melaksanakan latihan dan aktiviti promosi secara berstruktur.
Program ini juga memberi penekanan kepada aspek pemantauan dan penilaian kepatuhan kebersihan tangan, termasuk penggunaan data bagi menyokong penambahbaikan berterusan dalam amalan Pencegahan dan Kawalan Infeksi (IPC). Pelaksanaan latihan secara praktikal dan interaktif melalui simulasi, perbincangan kes klinikal dan role play turut membantu meningkatkan kefahaman peserta dalam aplikasi sebenar penjagaan pesakit.



