SAMBUTAN MINGGU KESEDARAN KERINTANGAN ANTIMIKROB SEDUNIA (WAAW) 2023 PERINGKAT KEBANGSAAN DAN PELANCARAN MALAYSIAN ACTION PLAN ON ANTIMICROBIAL RESISTANCE (MyAP-AMR) 2022-2026

Pada 18 November 2023, YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia telah menyempurnakan sambutan World Antimicrobial Resistance (MyAO-AMR) 2022-2026 yang bertempat di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, IOI City Mall, Putrajaya. Majlis ini telah dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dn Keterjaminan Makanan (KPKM) dan World Health Organization (WHO).

Sambutan WAAW yang diadakan pada setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kerintangan antimikrob (AMR) dan menggalakkan penggunaan antimikrob secara rasional dalam kalangan masyarakat awam, professional kesihatan dan pembuat dasar daripada sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan, pertanian dan alam sekitar.

Bertemakan “Bersama Mencegah Kerintangan Antimikrob”, kempen ini menekankan keperluan kerjasama merentasi semua sektor melalui pendekatan secara One Health, iaitu usaha kolaboratif yang melibatkan pelbagai disiplin yang bekerjasama untuk mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Ini seterusnya dapat memastikan antimikrob yang sedia ada berkesan bagi menjamin kesejahteraan manusia dan keterjaminan sekuriti makanan di Malaysia.

Sempena dengan WAAW 2023 ini juga, pelan tindakan Malaysia Action Plan on AMR (myAP-AMR) 2022-2026 yang dibangunkan oleh KKM bersama KPKM serta agensi-agensi berkaitan telah dilancarkan pada majlis sambutan tersebut. Pelan terbaharu ini telah ditambah baik dengan merangkumi sektor kesihatan alam sekitar serta tumbuhan melalui pendekatan One Health yang lebih komprehensif dan merupakan kesinambungan kepada pelan tindakan pertama yang telah dilaksanakan bagi tempoh 2017-2021.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan melalui sesi interaksi bersama orang awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai AMR. Ini termasuk bicarawara kesedaran AMR bersama orang awam, bual bicara perkongsian pengalaman bekas pesakit AMR, pemeriksaan kesihatan, jom Zumba, mini petting zoo, klinik veterinary bergerak, vaksinasi kucing, cat passport dan microchipping, kuiz interaktif AMR, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, stesen sand art, kenali ubat anda dan booth pameran kesedaran AMR.

Turut hadir, YBrs. Dr Rabindra Abeyainghe, wakil WHO Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, YBhg. Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan, Ybhg. Datuk Azah Hanim Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, YBhg. Datuk Dr Norhayati Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg. Datuk Dr Nor Fariza Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidik dan Sokongan Teknikal), YBrs. Dr Suratan Kamarudin, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Ybhg Dato Dr Mohd Azman Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan.