Pada 18 November 2025, telah berlangsung Media Workshop on Strengthening Health Reporting including Antimicrobial Resistance (AMR) in Malaysia yang dianjurkan oleh Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama World Health Organization (WHO) bertempat di Imperial Lexis, Kuala Lumpur.
Program ini telah dihadiri seramai 40 peserta yang terdiri daripada pengamal media massa dan sosial seperti RTM, Bernama, Siakap Keli, Independent Journalist, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelajar universiti.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM, dan turut dihadiri oleh Dr Rabindra Abeyasinge, WHO Representative to Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore diiringi Dr Sivarajan Ramasamy, Ketua Sektor Cardiorenal Metabolism , Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.
Bengkel ini diadakan bersempena sambutan World Antimicrobial Resistance (AMR) Awareness Week (WAAW) 2025 sebagai usaha memperkukuhkan kefahaman serta keupayaan pihak media dalam menghasilkan laporan kesihatan awam yang tepat, bertanggungjawab dan berimpak tinggi. Selain aspek AMR, bengkel ini turut memfokuskan isu-isu kesihatan utama seperti penyakit tidak berjangkit dan obesiti.
Melalui penganjuran ini, para wartawan dan pengamal media telah diberi pendedahan kepada pendekatan komunikasi kesihatan berasaskan bukti, perkongsian pengalaman lapangan serta peluang memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara KKM, WHO dan pihak media. Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan komunikasi kesihatan yang lebih tepat dan efektif, sekali gus membantu menangani penyebaran maklumat tidak sahih serta memperkukuhkan jaringan profesional dalam pelaporan isu-isu kesihatan awam terutamanya isu kerintangan antimikrob di Malaysia.






