Sempena kempen World Hand Hygiene Day (WHHD) yang diadakan pada 5 Mei setiap tahun oleh WHO, satu sambutan WHHD 2023 Peringkat Kebangsaan & Seminar Pencegahan dan Kawalan Infeksi telah berlangsung pada 14 Jun 2023 bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Dr Nor Hayati Ibrahim, Timbalan Pengarah, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan (CKPP), Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan).
Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Ketua Perkhidmatan Klinikal Penyakit Berjangkit, KKM. Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran TPKN (Perubatan) dari JKN Kelantan dan Pahang.
Program ini dianjurkan oleh Unit Kawalan Infeksi CKPP BPP, JKN Terengganu, Kelab Kawalan Infeksi dan Antibiotik (KINDA) HSNZ dan Malaysian Society of Infection Control and Infectious Diseases (MyICID).
Sebanyak 400 orang peserta yang terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dari negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang telah hadir memeriahkan sambutan WHHD dan menghadiri seminar tersebut. Jumlah ini juga termasuk pengarah hospital, pegawai kesihatan daerah, dan pegawai kesihatan pergigian daerah dari seluruh negeri Terengganu.
Tema bagi sambutan WHHD 2023 adalah “Together, we can accelerate action to prevent infections and antimicrobial resistance in health care and build a culture of safety and quality in which hand hygiene improvement is given high priority” dengan slogan “Accelerate action together. SAVE LIVES – Clean your hands”. Tema ini mengingatkan kita akan tanggungjawab bersama untuk mengambil tindakan segera dan serentak demi melindungi nyawa melalui amalan “hand hygiene”.
Di samping itu, pihak penganjur turut menjalankan Pertandingan Pameran “Hand Hygiene” 2023 yang disertai oleh fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Terengganu bagi menaikkan semangat peserta dalam menghayati kempen WHHD 2023.
Kepatuhan kepada amalan “hand hygiene” di kalangan anggota kesihatan adalah langkah utama yang terbukti berkesan dalam mencegah terjadinya kes “Healthcare-Associated Infections (HCAI)” dan “Antimicrobial Resistance (AMR)”. Dengan menggalakkan dan menguatkuasakan amalan “hand hygiene” yang betul, institusi dan fasiliti kesihatan boleh mengurangkan jangkitan “HCAI”, melindungi pesakit dan meningkatkan keselamatan pesakit secara keseluruhan.