Jawatankuasa Kecil Penjagaan Luka (Pressure Injury) telah ditugaskan untuk membangunkan dan menghasilkan satu alat penilaian baharu sebagai usaha menggantikan Braden Score dalam menilai dan mengurus pesakit berisiko mendapat pressure injury semasa berada di hospital.
Hasil daripada inisiatif ini, satu alat dikenali sebagai Pressure Injury Scoring and Intervention Tool (PISIT) Versi 1.0 telah berjaya dibangunkan. Satu kajian rintis telah dijalankan untuk menilai keberkesanan dan kesesuaian penggunaan PISIT di peringkat fasiliti kesihatan.
Kajian rintis ini telah dilaksanakan selama dua (2) bulan di enam (6) buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Pulau Pinang, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth I. Sepanjang tempoh kajian rintis, sebanyak lebih daripada 280 sampel telah berjaya dikumpulkan.
Satu sesi perbincangan telah diadakan pada 24 Mac 2025 secara dalam talian bersama ahli jawatankuasa bagi membincangkan penemuan daripada kajian rintis ini. Tujuan perbincangan adalah untuk meneliti keberkesanan PISIT Versi 1.0 dan mengenalpasti ruang penambahbaikan sebelum digunapakai secara lebih meluas di fasiliti KKM. Langkah seterusnya dalam pelaksanaan PISIT turut dibincangkan semasa sesi ini.
Adalah diharapkan agar alat ini dapat digunakan secara meluas di semua fasiliti KKM dan seterusnya menyumbang dalam penyampaian penjagaan pesakit secara holistik, khususnya dalam aspek pencegahan dan pengurusan pressure injury.

