MESYUARAT PERSEDIAAN BENGKEL REGIONAL TRIPARTITE ANTIMICROBIAL RESISTANCE (AMR) PROJECT – 27 MAC 2024

Regional Tripartite for One Health merupakan gabungan yang terdiri daripada Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), World Health Organization (WHO) dan World Organisation for Animal Health (WOAH) berlandaskan pendekatan One Health di mana sektor kesihatan manusia, haiwan, pertanian dan alam sekitar perlu bertindak secara bersama dalam menangani ancaman kerintangan antimikrob atau antimicrobial resistance (AMR).

Sehubungan itu, Regional Tripartite Antimicrobial Resistance (AMR) Project: Working Together to Fight Antimicrobial Resistance in Asia and The Pacific 2022-2025 merupakan satu projek di bawah Regional Tripartite yang dibiayai oleh European Union (EU) dengan tujuan bekerjasama dengan negara-negara di rantau Asia Pasifik dalam menggalakkan komitmen politik, tadbir urus yang efektif dan sokongan pembangunan kapasiti merentas sektor dalam menangani AMR.

Lanjutan daripada lawatan misi pertama Regional Tripartite pada 11 September 2023, satu misi susulan telah dicadangkan oleh pihak Regional Tripartite pada 17-19 April 2024 bagi mengadakan bengkel bersama pemegang taruh berkaitan di Malaysia. Misi kedua ini bertujuan untuk memuktamadkan aktiviti di bawah Malaysian Action Plan on AMR (MyAP-AMR) 2022-2026 yang akan disokong melalui projek ini dan penglibatan sektor berkaitan di dalam aktiviti Regional Tripartite peringkat serantau.

Bagi menyelaraskan misi tersebut, satu mesyuarat persediaan telah diadakan secara hibrid pada 27 Mac 2024 oleh Unit Kawalan Infeksi CKPP, Bahagian Perkembangan Perubatan selaku sekretariat National AMR Committee (NARC) bersama National AMR Consultant WHO Country Office Malaysia dan ahli Technical Working Group 1-4 yang terdiri daripada wakil sektor kesihatan manusia, haiwan, keselamatan makanan, pertanian, perikanan dan alam sekitar.

Mesyuarat telah membincangkan mengenai persiapan lawatan pihak Regional Tripartite dan aktiviti-aktiviti MyAP-AMR dan serantau yang akan disokong melalui Regional Tripartite. Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai Malaysia National Action Plan for Health Security (MyNAPHS) yang turut melibatkan komponen AMR.