MESYUARAT JAWATANKUASA PENJAGAAN LUKA KEBANGSAAN BIL. 2/2022, BENGKEL PENGEMASKINIAN MANUAL DAN PEMANTAPAN SURVELAN PENJAGAAN LUKA KEBANGSAAN 2022

Pada 19 – 21 Oktober 2022, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan telah menganjurkan Bengkel Pengemaskinian Manual Penjagaan Luka dan Pemantapan Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan di Hotel Adya, Langkawi. Bengkel ini telah dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan serta anggota kesihatan yang terlibat dalam menjalankan survelan penjagaan luka di peringkat JKN dan hospital-hospital KKM serta Penjagaan Kesihatan Primer.

Mesyuarat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan Bil. 2/2022 turut diadakan yang dipengerusikan oleh Mdm Normala Basiron, Pakar Perunding Kanan Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstrukrif HKL dan dihadiri oleh AJK yang terdiri daripada wakil daripada pelbagai disiplin daripada Program Perubatan, Penjagaan Kesihatan Primer, Kejururawatan dan Penolong Pegawai Perubatan.

Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu berkaitan penjagaan luka serta pelan perancangan bagi tahun 2023. Selain itu Pencapaian Program Penjagaan Luka Kebangsaan 2021 telah dibentangkan oleh sekretariat kebangsaan, diikuti dengan pembentangan Laporan Survelan 2021, aktiviti penjagaan luka, pengurusan kewangan serta isu dan cabaran yang dihadapi di negeri-negeri oleh Koordinator Penjagaan Luka Negeri termasuk isu koordinasi pengurusan penjagaan luka di peringkat negeri dalam Program Perubatan dan isu koordinasi antara Program Perubatan dengan Program Kesihatan Primer.