Bengkel Semakan Malaysia Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022–2026

Antimicrobial Resistance (AMR) telah muncul sebagai cabaran kesihatan global pada abad ke-21, yang membawa risiko besar terhadap kesihatan populasi di seluruh dunia. Menyedari ancaman ini, National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) telah ditubuhkan pada tahun 2017 bagi mentadbir dan menyelaras strategi serta aktiviti pembendungan AMR di peringkat kebangsaan. Pelaksanaan inisiatif ini berpandukan Malaysia Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022–2026 yang mengguna pakai pendekatan One Health, merangkumi sektor kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar. Sejak pelaksanaannya, pelbagai kejayaan penting telah dicapai termasuk peningkatan dalam aspek pemantauan, kesedaran awam, serta pencegahan dan kawalan jangkitan.

Bagi tujuan ini, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan selaku sekretariat NARC telah menganjurkan Bengkel Semakan Malaysia Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2022–2026 pada 4 hingga 6 November 2025 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur. Bengkel selama tiga hari ini menghimpunkan wakil-wakil daripada Technical Working Group (TWG) 1–4 yang mewakili sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan, keselamatan makanan dan alam sekitar. 

Perbincangan sepanjang bengkel memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan pelaksanaan pelan semasa dalam empat bidang keutamaan utama MyAP-AMR, iaitu Public Awareness and Education, Surveillance and Research, Infection Prevention and Control, serta Appropriate Use of Antimicrobials. Sesi pembentangan turut diadakan bagi memastikan para ahli sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan pelan tindakan kebangsaan serta menilai hala tuju dan strategi seterusnya.

Dapatan daripada bengkel ini akan menjadi panduan penting dalam merangka Malaysia Action Plan on Antimicrobial Resistance (MyAP-AMR) 2027–2031, yang akan dibina berasaskan penilaian semasa dan kejayaan pelaksanaan pelan sebelumnya bagi memastikan strategi pembendungan AMR terus berkesan dan seiring dengan keperluan semasa. Penganjuran bengkel ini menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh agenda kebangsaan bagi membendung AMR secara menyeluruh, mampan dan bersepadu.