Mesyuarat National Antimicrobial Resistance Committee

Mesyuarat National Antimicrobial Resistance Committee

Mesyuarat National Antimicrobial Resistance Committee merupakan platform peringkat kebangsaan dalam tadbir urus AMR di Malaysia. Dianggotai oleh pengurusan tertinggi pelbagai jabatan, agensi, persatuan, dan akademia daripada sektor kesihatan manusia, haiwan, serta alam sekitar, mesyuarat ini menerapkan pendekatan One Health dalam memantau pelaksanaan pelan tindakan kebangsaan, MyAP-AMR 2022–2026.

Mesyuarat pada tahun ini telah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar. Memandangkan tahun 2026 menandakan fasa akhir pelaksanaan MyAP-AMR 2022–2026 serta penutupan rasmi Regional Tripartite AMR Project (Disember 2025), mesyuarat telah memberi fokus kepada penyediaan pelan tindakan ketiga, MyAP-AMR 2027–2031. Agenda utama yang dibincangkan merangkumi pencapaian aktiviti semasa, perundangan veterinar, dapatan awal projek TRiUMPH (Improving the TRicycle protocol: upscaling to national Monitoring, detection of CPE and WGS pipelines for One Health Surveillance), serta penilaian FAO Assessment Tool for Laboratories and AMR Surveillance Systems (FAO-ATLASS).

Sesi mesyuarat diakhiri dengan amanat daripada Pengerusi yang menegaskan bahawa asas dan objektif utama NARC kekal konsisten. Walaupun kepengerusian NARC bakal mengalami perubahan ekoran penstrukturan semula tadbir urus One Health kebangsaan, Pengerusi menyuarakan harapan agar semua ahli memberikan komitmen berterusan pada masa hadapan.