Perbincangan Protokol Pengurusan Nipah Malaysia

Ekoran penularan kes Nipah virus yang dilaporkan di Kerala, India, serta pemantauan berterusan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap ancaman penyakit berjangkit berisiko tinggi, satu perbincangan Protokol Pengurusan Nipah Malaysia telah diadakan oleh Bahagian Kawalan Penyakit, KKM pada 28 Januari 2026 secara atas talian. Unit Kawalan Infeksi turut dijemput hadir bagi memberikan input berkaitan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan. Turut hadir adalah pakar perubatan penyakit berjangkit dan wakil dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan. 

Malaysia pernah mengalami wabak Nipah virus pada tahun 1998–1999, yang memberi impak besar kepada kesihatan awam dan sektor penternakan, sekaligus menjadi peringatan penting terhadap keperluan kesiapsiagaan menghadapi ancaman zoonotik.

Mesyuarat ini telah membincangkan draf terkini Garis Panduan Pengurusan Nipah Virus sebagai usaha mengemaskini panduan sedia ada, bagi memperkukuh keupayaan respons negara sekiranya berlaku kejadian wabak di Malaysia. Perbincangan menumpukan kepada aspek pengesanan awal, pengurusan kes, kawalan dan pencegahan infeksi, langkah pengasingan, serta koordinasi respons antara pelbagai pihak berkepentingan.

Diharapkan garis panduan yang dikemaskini ini dapat menjadi rujukan nasional yang lebih komprehensif dalam memperkukuh respons kesihatan awam negara.