Mesyuarat Perbincangan Proposal Kajian Validasi bagi PISIT bersama ICR telah diadakan pada 13 Januari 2026 secara dalam talian melalui platform Google Meet. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Kecil Pressure Injury bersama Dr Zulfikrie Abas dari Pusat Koordinasi Rangkaian Penyelidikan Klinikal (CCRN), ICR.
PISIT merupakan satu alat yang dibangunkan bagi memperkukuh usaha menangani kes pressure injury di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memandangkan data perkhidmatan penjagaan luka menunjukkan bahawa hampir separuh daripada rujukan pesakit dalam melibatkan kes tersebut. Alat ini membolehkan penilaian risiko dilakukan secara lebih sistematik serta menyokong pelaksanaan intervensi awal oleh anggota kesihatan, dengan matlamat untuk mengurangkan kejadian pressure injury dan seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di fasiliti kesihatan.
Mesyuarat kali ini telah menjadi platform penting bagi mendapatkan pandangan, ulasan dan cadangan penambahbaikan daripada pihak ICR sebelum kajian dilaksanakan. Hasil perbincangan telah memberikan pencerahan yang amat bermakna berhubung langkah-langkah seterusnya dalam pelaksanaan kajian validasi ini. Diharapkan kajian ini dapat menyokong penggunaan PISIT secara meluas sebagai alat saringan dan intervensi awal yang berkesan dalam usaha memperkukuh pengurusan pressure injury di hospital KKM.

