Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM serta Malaysian Society of Infection Control and Infectious Disease (MyICID) telah menganjurkan satu webinar berkaitan penyelenggaraan Airborne Infection Isolation Room (AIIR) di hospital dan institusi perubatan KKM pada 25 November 2025 melalui platform Google Meet dan YouTube Live .
Penganjuran sesi ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pasukan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC) daripada hospital dan institusi kesihatan KKM, universiti serta Hospital Angkatan Tentera dalam memahami konsep asas, prinsip tekanan udara, serta keperluan teknikal berkaitan AIIR. Webinar ini turut menekankan kepentingan memperkasakan peranan pasukan IPC dalam pemantauan fungsi AIIR termasuk kaedah ujian, pengukuran tekanan, aliran udara dan kadar pertukaran udara (ACH). Selain itu, peserta turut diberikan panduan mengenai amalan penyelenggaraan serta kepentingan kerjasama bersama pasukan kejuruteraan dan Hospital Support Services (HSS) bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian keselamatan.
Webinar ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 500 peserta melalui Google Meet , sementara siaran langsung di laman YouTube menerima lebih 1,000 tontonan, mencerminkan minat dan keperluan yang tinggi terhadap pemantapan kefungsian AIIR di kalangan pasukan IPC di hospital KKM. Dua sesi ceramah utama telah disampaikan oleh En. Mohd Shahrul Ridzuan Kamarul Zaman, jurutera mekanikal dari Unit Kualiti Persekitaran Dalaman (IEQ), Sektor Kelestarian Fasiliti, BPKJ, KKM, iaitu konsep asas dan keperluan kejuruteraan AIIR dan penyelenggaraan & pemantauan AIIR.
Secara keseluruhan, webinar ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menyediakan platform ilmu yang komprehensif, serta memperkukuhkan kolaborasi antara pasukan IPC dan kejuruteraan dalam memastikan fungsi AIIR sentiasa berada pada tahap optimum dan selamat.






