Mesyuarat Perbincangan Percanggahan Parameter Polisi/Garis Panduan KKM

Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM sedang merangka Engineering Services Guideline in Healthcare Facilities bagi digunakan sebagai dokumen rujukan semasa penyediaan reka bentuk fasiliti kejuruteraan KKM untuk projek-projek baru serta kerja-kerja naik taraf. Dokumen itu secara umumnya mengandungi keperluan serta pematuhan kepada piawaian, standard serta amalan kejuruteraan terbaik yang digariskan oleh Jabatan Standard Malaysia, pihak-pihak berautoriti, badan-badan piawaian antarabangsa serta polisi-polisi di KKM. Penyeragaman ini adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan di pihak agensi pelaksana.

Untuk mengenalpasti sebarang percanggahan dalam parameter polisi/garis panduan dan mencadangkan penyeragaman yang sewajarnya dalam sistem kejuruteraan yang berkaitan, Unit Kawalan Infeksi telah dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Perbincangan Percanggahan Parameter Polisi/Garis Panduan KKM. Mesyuarat ini diselaraskan oleh Sektor Implementasi Projek, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dan dihadiri oleh Bahagian Perancangan dan Bahagian Perkembangan Perubatan, selaku jabatan yang terlibat dalam perancangan perkhidmatan dan fasiliti KKM. 

Unit Kawalan Infeksi bersama-sama dengan Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit telah memberikan input berkaitan reka bentuk sistem dan kemudahan yang berisiko untuk  jangkitan berdasarkan garis panduan terkini, iaitu Policies and Procedures on Infection Prevention and Control, 3rd Edition, 2019. Parameter yang dicadangkan juga merujuk kepada panduan dan bukti saintifik di peringkat Bahagian Perkembangan Perubatan seperti Cardiothoracic Surgery Services Operational Policy serta di peringkat global, seperti American Society of Heating, Refrigerating and Air-Conditioning Engineers (ASHRAE) dan lain-lain.

Reka bentuk sistem, terutamanya sistem ACMV di ruang berisiko jangkitan seperti di bilik bedah kardiotorasik, unit burn, bilik pengasingan (isolation room) dan bilik CSSD, dengan parameter seperti suhu, RH%, ACH, air filtration, ventilation, Pa telah dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat ini. Selain daripada itu, Unit Kawalan Infeksi telah turut mencadangkan reka bentuk sinki di kawasan klinikal dengan ciri-ciri untuk mengurangkan risiko jangkitan daripada sinki kepada pesakit. Pada masa terdekat, suatu bengkel akan diadakan untuk mengumpulkan input daripada para pengguna seperti Ketua Perkhidmatan Klinikal serta Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit seperti yang dicadangkan dalam mesyuarat ini.