Kempen Kesedaran Sistem Electronic National Centre for Disease Control (eNCDC) dan Literasi Digital Fasa 1 (Readiness Phase)

Pada 9 Oktober 2025 bertempat di Dewan Serbaguna E7, KKM telah berlangsung satu inisiatif penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan negara yang dilaksanakan melalui Kempen Kesedaran Sistem Electronic National Centre for Disease Control (eNCDC) dan Literasi Digital Fasa 1 (Readiness Phase). Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman, kesedaran serta kemahiran digital dalam penggunaan dan pengurusan maklumat berkaitan sistem eNCDC yang sedang dibangunkan secara menyeluruh oleh Bahagian Kawalan Penyakit.

Majlis telah dirasmikan oleh Dr. Nor Zahrin binti Hasran, Timbalan Pengarah Bahagian Survelan Penyakit, yang mewakili Dr. Noraryana binti Hassan, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan transformasi digital dalam memperkukuh sistem survelan penyakit dan pengurusan respons kesihatan awam negara secara lebih efisien dan bersepadu.

Antara pengisian utama kempen adalah:

  1. Taklimat Pengenalan Projek Pusat Kawalan Penyakit Negara – memperincikan visi dan objektif pembangunan pusat kawalan penyakit yang bertaraf nasional.
  2. Taklimat Pengenalan Sistem eNCDC – memberikan gambaran menyeluruh mengenai fungsi, struktur, dan faedah sistem eNCDC kepada warga kerja KKM.
  3. Taklimat Kempen Kesedaran Sistem eNCDC dan Literasi Digital – menekankan pentingnya perubahan budaya kerja ke arah pendigitalan maklumat dan integrasi sistem.
  4. Penilaian Kesediaan Perubahan (Change Readiness Assessment, CRA) – sebagai langkah awal untuk menilai tahap kesediaan organisasi dan individu terhadap pelaksanaan sistem baharu.
  5. Sesi Networking dan Lawatan Booth Pameran – pelbagai booth berkaitan literasi digital telah disediakan oleh jabatan dan bahagian terlibat bagi memperkenalkan aplikasi, alat serta sumber digital yang relevan kepada peserta.

Kempen ini berjaya menghimpunkan pelbagai pemegang taruh dari pelbagai peringkat dalam KKM, sekaligus memperkukuh jalinan kerjasama rentas bidang ke arah kejayaan pembangunan dan pelaksanaan sistem eNCDC.