Regional Workshop on Strengthening Infection Prevention and Control (IPC) in the Western Pacific Region

Healthcare-associated infections (HAIs) merupakan cabaran global yang memberi kesan besar terhadap keselamatan pesakit, kadar morbiditi dan mortaliti, serta beban kewangan sistem kesihatan. Pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan ineksi (IPC) yang berkesan amat penting bagi mengurangkan kadar HAI, meningkatkan kualiti penjagaan serta menjamin keselamatan pesakit. IPC juga memainkan peranan penting dalam mengekang kerintangan antimikrob (AMR) dengan mencegah jangkitan yang menyebabkan penggunaan antibiotik secara tidak perlu.

Data terkini menunjukkan jurang pelaksanaan yang ketara dalam program IPC di seluruh dunia. Sehingga tahun 2023, sebanyak 11% negara belum mempunyai pelan IPC, manakala hanya 34% telah melaksanakan program nasional sepenuhnya. Survelan HAI masih lemah, dengan hanya 43% negara mempunyai sistem yang berfungsi. Di Rantau Pasifik Barat WHO, kemajuan dalam survelan HAI masih perlahan, menekankan keperluan sistem yang lebih kukuh.

Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuh pelaksanaan IPC dan survelan HAI di peringkat nasional dan fasiliti kesihatan bagi negara-negara anggota WHO Rantau Pasifik Barat dan Asia Tenggara, termasuk negara-negara ASEAN. Peserta akan menilai penanda aras semasa dan membangunkan cadangan tindakan berasaskan bukti selaras dengan Global Action Plan and Monitoring Framework on IPC 2024–2030.

Objektif Bengkel adalah:

  1. Membangunkan tindakan keutamaan berasaskan bukti untuk memperkukuh IPC dan survelan HAI di semua peringkat, berpandukan strategi tersuai yang sejajar dengan WHO Global Action Plan and Monitoring Framework on IPC 2024–2030.
  2. Merumuskan tindakan serantau yang praktikal dan boleh diukur, dengan menyepadukan keutamaan negara dan rantau serta menanda aras pencapaian ke arah sasaran global IPC 2030.
  3. Menubuhkan rangkaian pembelajaran rentas negara bagi memupuk kerjasama, perkongsian pengalaman dan pembangunan kapasiti dalam pelaksanaan IPC dan HAI.

Wakil Unit Kawalan Infeksi selaku Focal Point IPC bagi Malaysia telah menghadiri bengkel ini di mana pencapaian Malaysia bagi program IPC dan survelan HAI telah dibentangkan. Hasil daripada bengkel ini juga membantu Malaysia dalam mengenalpasti jurang dan fokus bagi membangunkan Action Plan and Monitoring and Framework on IPC nagi negara.