MESYUARAT PEMASANGAN/PELAKSANAAN SISTEM ULTRAVIOLET GERMICIDAL IRRADIATION (UVGI) BAGI TUJUAN PEMBASMIAN MIKROORGANISMA DAN KULAT DI DALAM SISTEM PENGHAWA DINGIN DI HOSPITAL KKM

Mesyuarat Pemasangan/Pelaksanaan Sistem Ultraviolet Germicidal Irradiation (UVGI) Bagi Tujuan Pembasmian Mikroorganisma dan Kulat di Dalam Sistem Penghawa Dingin di Hospital KKM Bil. 1/2025 telah diadakan pada 30 Julai 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat PIK, Aras 6, Blok E7, Kementerian Kesihatan Malaysia. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Datuk Dr. Nor Fariza Ngah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), dan diadakan bagi mendapatkan penjelasan agensi pelaksana serta membincangkan halatuju pelaksanaan sistem UVGI dalam sistem penghawa dingin di fasiliti kesihatan KKM.

Mesyuarat turut dihadiri oleh wakil-wakil Bahagian Perancangan KKM, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan KKM, Jabatan Kerja Raya, serta pakar dari Hospital Sungai Buloh dan KPJ Damansara Specialist Hospital. Dalam mesyuarat ini, Pakar Perubatan Dalaman, Datuk Dr. Ahmad Shukri bin Md Salleh telah membentangkan kepentingan UVGI dalam sistem ventilasi hospital khususnya bagi kawalan penyakit berjangkit bawaan udara.

Mesyuarat telah bersetuju bahawa keperluan UVGI perlu diperincikan dalam Medical Brief of Requirements (MBOR) dan Technical Brief of Requirements (TBOR) sebagai salah satu komponen kawalan penyakit berjangkit di fasiliti kesihatan. Skop teknikal merangkumi pemasangan di ruang berisiko tinggi seperti Cardiac OT, Orthopaedic OT, Bone marrow Transplant, Burn Unit, Isolation room (positive pressure), serta ruang lain yang ditentukan mengikut keperluan. Sistem UVGI ini akan dipasang pada cooling coil dan supply air duct bagi memastikan keberkesanan maksimum. Skop ini telah pun dimasukkan dalam beberapa projek pembangunan baharu seperti Hospital Kapar (Selangor), Hospital Langkawi (Kedah), blok tambahan Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Pulau Pinang serta Hospital Port Dickson (Negeri Sembilan).

Mesyuarat ini menandakan langkah penting ke arah memperkukuh kawalan penyakit berjangkit bawaan udara di fasiliti kesihatan KKM melalui penerapan teknologi UVGI secara lebih sistematik dan menyeluruh.