Pencegahan dan kawalan infeksi (Infection Prevention and Control, IPC) yang kukuh adalah asas penting dalam menjamin keselamatan pesakit dan anggota kesihatan. Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan IPC di peringkat serantau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melancarkan Siri Webinar Serantau WHO bagi IPC, yang bertujuan membina komuniti amalan yang dinamik merentas negara dan bidang teknikal, serta menyokong penambahbaikan IPC secara mampan dari dasar ke pelaksanaan.
Sesi webinar dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dr Saia Piukala, Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat (WPRO), yang menekankan keperluan menjadikan IPC sebagai keutamaan sistem kesihatan secara menyeluruh melalui tindakan berasaskan data dan tadbir urus yang kukuh.
Seterusnya, sesi teruskan dengan pembentangan berkaitan Pendekatan Sistemik terhadap IPC di Rantau Pasifik Barat oleh Dr Lluis Vinyals Torres, Pengarah, Sistem dan Perkhidmatan Kesihatan, yang membentangkan dapatan kajian WHO melibatkan 738 dokumen daripada enam buah negara. Kajian menunjukkan masih terdapat jurang dalam pelaksanaan dasar, pergantungan terhadap pembiayaan luar, dan pemantauan pematuhan IPC yang terhad.
Disamping itu, terdapat dua pembentangan dari Kemboja dan Jepun berkaitan program IPC di negara masing-masing.
- Dr Virya Koy dari Kementerian Kesihatan Kemboja berkongsi strategi pengukuhan IPC melalui pelatihan berterusan dan audit berkala.
- Dr Shinichiro Morioka dari Pusat Kesihatan dan Perubatan Global Negara, Jepun, mengetengahkan pendekatan bersepadu antara klinikal dan dasar dalam mencegah jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan.
Semasa webinar juga telah berlangsung sesi Panel, yang memberi ruang kepada interaksi lintas-negara dan pertukaran pembelajaran mengenai cabaran serta penyelesaian dalam pelaksanaan IPC yang berkesan.
Sesi ini sangat relevan untuk penggubal dasar, pengamal klinikal, serta mereka yang menyokong pelaksanaan IPC di semua peringkat sistem kesihatan. WHO menggalakkan penglibatan berterusan dalam siri webinar ini untuk memperkukuh jalinan kerjasama, perkongsian amalan terbaik, dan menjadikan IPC sebagai komponen teras dalam sistem kesihatan kebangsaan.



