Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Pasifik Barat (WPRO) telah menganjurkan Western Pacific Member State Consultation on the Draft Updated Global Action Plan on Antimicrobial Resistance (AMR). Mesyuarat ini adalah sebahagian daripada proses multisektor untuk menyemak semula dan mengemaskini GAP-AMR 2015, selaras dengan komitmen yang digariskan dalam Deklarasi Politik Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2024 mengenai AMR.
Objektif Mesyuarat adalah;
- Membentangkan draf awal (zero draft) GAP-AMR yang dikemaskini untuk mendapatkan pandangan negara anggota.
- Mengumpul maklum balas bertulis daripada negara anggota menggunakan template yang disediakan.
- Membincangkan isu-isu utama dan hala tuju strategik dalam pembendungan AMR di peringkat rantau Pasifik Barat.
Mesyuarat telah diadakan secara maya pada 28 Ogos 2025 melalui platform Zoom. Negara anggota telah dijemput menyertai dan memberikan maklum balas, termasuk Malaysia yang diwakili oleh Unit Kawalan Infeksi, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mesyuarat konsultasi ini memberi peluang penting kepada negara anggota Rantau Pasifik Barat, termasuk Malaysia, untuk menyuarakan pandangan dan keutamaan dalam menangani isu rintangan antimikrob. Penyertaan aktif Malaysia menunjukkan komitmen berterusan negara dalam menyokong usaha global membanteras AMR melalui pendekatan multisektor dan bersepadu.



