Taklimat Point Prevalence Survey (PPS) on Healthcare Associated Infections (HAIs) 

Satu taklimat atas talian berkaitan Survelan Point Prevalence Survey (PPS) on Healthcare-Associated Infection (HAI) telah diadakan pada 23 September 2025 (Selasa), jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari melalui platform Google Meet. Peserta terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan aktiviti Kawalan Infeksi di fasiliti kesihatan seluruh negara.

Taklimat ini dianjurkan oleh Unit Kawalan Infeksi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertujuan untuk memberikan pendedahan serta penerangan mengenai pelaksanaan survelan PPS HAI yang telah ditambah baik selaras dengan garis panduan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Survelan PPS HAI memainkan peranan penting dalam menentukan kadar prevalens, jenis jangkitan, organisma penyebab serta faktor risiko yang berkaitan dengan jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan. Dapatan daripada survelan ini turut membantu dalam mengenal pasti kelemahan sistem serta merangka tindakan penambahbaikan bagi memperkukuh pelaksanaan amalan pencegahan dan kawalan infeksi di fasiliti kesihatan.

Melalui taklimat ini, peserta diberi penjelasan terperinci berkenaan kemas kini dalam manual PPS HAI, termasuk aspek metodologi, instrumen pengumpulan data, dan analisis hasil surveilans. Taklimat turut menekankan kepentingan pelaporan yang tepat dan konsisten bagi menyokong strategi nasional dalam pencegahan dan kawalan jangkitan.