Pada 4 Mac 2025, suatu perbincangan dalam talian telah diadakan bersama wakil-wakil daripada fasiliti KKM yang terlibat dalam Kajian Rintis Data Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan. Sesi libat urus ini adalah susulan daripada Bengkel Data Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan yang telah diadakan pada 3 dan 4 Februari yang lalu bersama wakil-wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri.
Sejumlah 16 buah hospital dan 15 buah klinik kesihatan telah terpilih dari setiap negeri di seluruh Malaysia bagi menggunakan sistem terbaharu dalam aktiviti survelan penjagaan luka kebangsaan bagi tempoh 3 bulan iaitu dari April sehingga Mei 2025. Tujuan kajian rintis ini diadakan adalah untuk mengenalpasti kelemahan sistem yang baru dibangunkan serta menambah baik proses kerja di lapangan yang telah diharmonikan dengan elemen ‘automation’ dalam janaan data secara langsung dan boleh dipantau dalam talian di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Ibu Pejabat KKM di Program Perubatan serta Kesihatan Awam.
Data survelan secara dalam talian ini juga julung kalinya menggabungkan pemantauan data pesakit yang menerima khidmat perawatan daripada Wound Care Team di hospital serta klinik kesihatan, dengan objektif untuk memastikan pemberian rawatan yang efektif dan berkesinambungan antara perubatan dan kesihatan primer, sekaligus mengurangkan kos rawatan dan sistem kesihatan secara amnya.
