Food and Agriculture Organization of the United Nation (FAO) telah membangunkan FAO Assessment Tool for Laboratories and Antimicrobial Resistance Surveillance System (FAO-ATLASS) dan melancarkannya pada tahun 2016. Ia dibangunkan bagi menilai kapasiti makmal dan program survelan berkaitan kerintangan antimikrob dalam sektor pertanian khususnya bagi pengeluaran ternakan dan pengeluaran makanan. Penilaian FAO- ATLASS ini telah dijalankan ke atas lebih daripada 60 buah negara di rantau Asia Pasifik dan 270 buah makmal. Pihak FAO juga bekerjasama dengan pihak World Organization of Animal Health (WOAH) dan World Health Organization (WHO) dalam menyelaras penilaian di peringkat negara merentas sektor dengan menggunakan pendekatan One Health.
Pada 10-12 September 2025, pihak FAO telah menjalankan penilaian FAO- ATLASS ke atas Malaysia bagi sektor pertanian yang melibatkan skop kesihatan haiwan (ternakan dan akuakultur). Unit Kawalan Infeksi selaku Focal Point AMR bagi Malaysia juga turut terlibat dalam sesi penilaian ini.
Penilaian FAO-ATLASS ini dianjurkan berasaskan Regional Tripartite AMR Project “Working Together to Fight AMR in Asia” yang dibiayai sepenuhnya oleh Kesatuan Eropah (European Commission). Penilaian ini telah melibatkan dua (2) modul iaitu modul survelan kerintangan antimikrob dan modul makmal yang menjalankan pengujian kerintangan antimikrob. Struktur penilaian FAO-ATLASS ini adalah berasaskan lima (5) aspek utama iaitu tadbir urus, rangkaian pengeluaran data makmal, pengumpulan dan analisis data, komunikasi dan kemampanan.
Pada hari terakhir (12 September 2025) bertempat di Bilik Mesyuarat Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya. Penemuan hasil penilaian ini telah dibentangkan kepada pihak yang berkaitan. Hasil penemuan ini akan digunakan untuk menambahbaik survelan kerintangan antimikrob dan modul makmal yang menjalankan pengujian kerintangan antimikrob terutamanya sektor kesihatan haiwan (ternakan dan akuakultur) dan makanan.




