Pada 21 Julai 2025, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal telah menganjurkan Sesi Pembentangan Produk Disinfektan Cydal + secara hybrid, bertempat di Bilik Mesyuarat Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal serta melalui platform Google Meet. Sesi telah disampaikan oleh wakil Syarikat Nur Jaya Medic Sdn. Bhd. dan memberi fokus kepada pengenalan rangkaian produk disinfektan di bawah jenama Cydal +, khususnya disinfectant wipes berasaskan alkohol dan tanpa alkohol.
Sesi ini telah dihadiri oleh pelbagai wakil kepakaran dan agensi, termasuk Pakar Perubatan Patologi (Mikrobiologi), Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MAHTAS), wakil Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia, pegawai perubatan dari Unit Kawalan Infeksi, serta pegawai dari Medical Device Authority (MDA).
Pembentangan turut menekankan kepentingan penggunaan disinfectant wipes yang berkesan dengan formulasi bahan aktif yang tepat bagi memastikan keberupayaan membasmi mikroorganisma penyebab penyakit. Pihak syarikat memaklumkan bahawa produk Cydal+ dihasilkan secara tempatan dengan kualiti setanding produk sedia ada di pasaran, namun ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif. Dengan kemudahan kilang pengeluaran sendiri, pihak syarikat turut memberi jaminan terhadap kesinambungan bekalan tanpa gangguan.
Hasil daripada sesi pembentangan ini, Unit Kawalan Infeksi akan mengkoordinasikan input teknikal daripada pihak-pihak berkaitan bagi tujuan penyediaan maklum balas rasmi kepada pihak syarikat.


