Sesi Pembentangan Penemuan Kajian “Economics of Antimicrobial Resistance (AMR) in Malaysia: Elucidating the Trend of AMR Infections and Its Economic Burden” bersama Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pada 1 Oktober 2025 telah diadakan sesi pembentangan penemuan kajian “Economics of Antimicrobial Resistance (AMR) in Malaysia: Elucidating the Trend of AMR Infections and Its Economic Burden” anjuran Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP).
Kajian ini dijalankan sebagai sebahagian daripada keperluan pengajian calon Doktor Falsafah (Kesihatan Masyarakat) daripada UKM dan bertujuan untuk menilai beban ekonomi akibat jangkitan patogen Antibiotic Resistance (ABR) yang ditanggung oleh sistem kesihatan negara. Data yang digunakan dalam kajian ini meliputi rekod perubatan, data Point Prevalence on Antibiotic Resistance (ABR) Pathogens’ Infections serta data daripada sistem casemix bagi tahun 2017 hingga 2023 daripada hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sesi pembentangan telah diadakan secara hybrid di Bilik Mesyuarat CPRC Perkhidmatan Hospital, Aras 7, Kompleks E, Putrajaya dan juga di platform Google Meet, dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan (JKKIAK) termasuk pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi serta wakil dari Unit Perkhidmatan Pengurusan Hospital (casemix). Sesi perbincangan kemudiannya dipengerusikan oleh Dr. Azlihanis binti Abdul Hadi, Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, yang mewakili Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan diikuti dengan pembentangan utama oleh Dr. Muhammad Nur Amir Bin Abdul Rassip dari Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, UKM.
Melalui sesi ini, para peserta telah diberi pendedahan mendalam terhadap trend jangkitan AMR di Malaysia serta implikasi ekonomi yang berkaitan, sekali gus memperkukuhkan kefahaman dan keperluan intervensi bersepadu dalam menangani isu AMR di peringkat nasional.



