Perbincangan Perolehan Peranti Portable Digital Ultrasound Doppler Untuk Perkhidmatan Penjagaan Luka Kebangsaan

Seiring dengan peningkatan ketara bilangan pesakit diabetes di negara ini, beban luka kronik turut menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Keadaan ini memerlukan intervensi yang lebih efektif dan berasaskan bukti untuk mempertingkatkan hasil rawatan. Penggunaan peranti Portable Digital Doppler Ultrasound sebagai alat diagnostik di fasiliti kesihatan dilihat berpotensi besar dalam mempertingkatkan ketepatan penilaian vaskular, membolehkan rujukan awal serta mengurangkan risiko morbiditi dan mortaliti, khususnya dalam kalangan pesakit Diabetic Foot Ulcer (DFU) dan Peripheral Vascular Ulcer.

Sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan telah mengambil langkah proaktif dalam usaha mendapatkan peranti ini untuk digunakan di hospital dan klinik kesihatan yang menawarkan perkhidmatan penjagaan luka.

Satu sesi perbincangan bersama Unit Sumber Perubatan telah diadakan pada 16 Mei 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan bagi membincangkan kaedah terbaik perolehan peranti ini untuk kegunaan fasiliti kesihatan baik di hospital dan juga klinik kesihatan di seluruh negara. 

Hasil daripada perbincangan ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan perkhidmatan penjagaan luka, serta memberi manfaat besar kepada pesakit, khususnya dalam mencegah amputasi, mengurangkan morbiditi dan mengelakkan kematian akibat komplikasi luka kronik yang tidak dirawat dengan berkesan.