Mesyuarat Susulan Cadangan Kajian Tingkahlaku Berkaitan Program Perubatan bagi Tahun 2026

Sains tingkah laku dan pendekatan behavioural insights kini semakin meluas digunakan sebagai pendekatan inovatif dan berasaskan bukti dalam usaha merangka strategi intervensi perubahan tingkah laku. Ini amat penting dalam merangka dasar dan program kesihatan yang bukan sahaja berkesan, tetapi juga praktikal dan relevan dengan kehidupan seharian serta membolehkan kakitangan kesihatan di pelbagai peringkat untuk memahami dan menggunakan prinsip sains tingkah laku dalam merangka intervensi yang lebih efektif dalam pelaksanaan program KKM.

Mengambil peluang daripada tawaran oleh Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan (IPTK), National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) telah mengemukakan permohonan penyelidikan secara kerjasama dengan IPTK. Kertas cadangan tersebut mengandungi 7 topik penyelidikan merentas sektor berkonsepkan One Health, berkaitan dengan usaha kerajaan menangani AMR.

Mesyuarat susulan mengenai kertas cadangan ini telah diadakan pada 1 Disember 2025 bertempat di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam antara jabatan yang terlibat seperti Program Perubatan, Program Perkhidmatan Farmasi (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (KPKM), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NRES) dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah CPRSK. Perbincangan antara pihak teknikal dengan para penyelidik adalah penting bagi memastikan pemahaman mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pemegang taruh, seterusnya membentuk objektif kajian yang lebih tepat.

Kajian ini diharapkan dapat memberi penilaian yang objektif mengenai pelaksanaan program semenjak inisiatif memerangi AMR dijalankan pada tahun 2017, sehingga kini. Selain itu, dapatan kajian dijangka dapat mengacu strategi kesihatan yang lebih mesra pengguna serta mendorong perubahan tingkah laku masyarakat yang berpanjangan dalam penggunaan antibiotik dan amalan kawalan infeksi.