MESYUARAT PERBINCANGAN PERSEDIAAN TEKNIKAL BAGI PENGANJURAN 7th NATIONAL WOUND CARE CONFERENCE 2025 BERSAMA JABATAN KESIHATAN NEGERI PULAU PINANG

Satu mesyuarat secara dalam talian telah diadakan pada 27 Mac 2025 bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang bagi membincangkan aspek teknikal dan logistik bagi penganjuran 7th National Wound Care Conference (NWCC) 2025. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Premalosini Ramanathan, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (Perubatan), dan dihadiri oleh wakil-wakil Jawatankuasa Penganjur Tempatan JKN Pulau Pinang serta Unit Kawalan Infeksi selaku sekretariat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan dan urusetia persidangan. Turut hadir ialah Mr (Dr) Zairuddin bin Abdullah Zawawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan.

Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan oleh pihak sekretariat berkenaan latar belakang penganjuran 7th National Wound Care Conference 2025 serta perkembangan terkini dalam persiapan menuju ke hari persidangan. Antara perkara yang disentuh termasuk objektif utama persidangan, tema tahun ini, lokasi persidangan, serta anggaran penyertaan. Pembentangan ini bertujuan memberikan gambaran menyeluruh kepada pihak JKN Pulau Pinang agar penyelarasan tugasan dan peranan dapat dilakukan dengan lebih efektif.

Perbincangan seterusnya tertumpu kepada pembahagian tugasan antara pihak sekretariat dan pasukan penganjur tempatan di JKN Pulau Pinang. Beberapa komponen penting dibincangkan seperti penyelarasan logistik, pengurusan peserta, pendaftaran, protokol majlis, serta peranan sokongan semasa hari persidangan. Penglibatan aktif dan komitmen daripada JKN Pulau Pinang amat dihargai dan dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran 7th NWCC 2025. Kerjasama strategik ini diharap dapat memberi impak besar dalam memperkukuh usaha memperkasakan penjagaan luka di peringkat nasional.