Satu mesyuarat Perbincangan Aktiviti Program Penjagaan Luka Kebangsaan Tahun 2026 telah diadakan pada 2 Januari 2026, bertempat di Bilik Mesyuarat Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Mr. (Dr.) Zairuddin bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, dengan kehadiran Unit Kawalan Infeksi selaku sekretariat jawatankuasa.
Mesyuarat ini turut disertai oleh Encik Abdul Manan bin Othman mewakili Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga. Selain itu, mesyuarat ini juga berbesar hati menerima kehadiran Timbalan Pengarah, Dr. Azlihanis binti Abdul Hadi, yang telah memberikan sokongan dan pandangan strategik terhadap hala tuju program.
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk membincangkan perancangan, hala tuju serta cadangan aktiviti Program Penjagaan Luka Kebangsaan bagi tahun 2026, termasuk pengukuhan pelaksanaan program di peringkat fasiliti kesihatan serta pemantapan kerjasama bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Hasil mesyuarat telah berjaya memuktamadkan pelan tindakan Program Penjagaan Luka Kebangsaan bagi tahun 2026. Diharapkan pelaksanaan aktiviti – aktiviti yang dirancang dapat memperkasa perkhidmatan penjagaan luka secara lebih komprehensif, inovatif dan memberi manfaat yang berterusan kepada pesakit serta sistem kesihatan negara.


