MESYUARAT PENGANJURAN BERSAMA 7th NATIONAL WOUND CARE CONFERENCE 2025 BERSAMA KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN ILKKM SEREMBAN (PEMBANTU PERUBATAN)

Satu mesyuarat telah diadakan pada 10 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan bersama Kelab Sukan dan Kebajikan ILKKM Seremban (Pembantu Perubatan) bagi membincangkan penglibatan mereka sebagai penganjur bersama dalam 7th National Wound Care Conference (NWCC) 2025. Mesyuarat dipengerusikan oleh Mr (Dr) Zairuddin bin Abdullah Zawawi selaku pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan dan turut dihadiri oleh Unit Kawalan Infeksi, CKPP yang merupakan penganjur persidangan kali ini. 

Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan anggota kesihatan mengenai pendekatan terkini dalam penjagaan luka, selaras dengan kemajuan teknologi serta amalan berasaskan bukti (evidence-based practice). Dengan peningkatan kes penyakit kronik seperti diabetes, keperluan terhadap penjagaan luka yang holistik menjadi semakin penting dalam mengurangkan komplikasi dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Penglibatan Kelab Sukan dan Kebajikan ILKKM Seremban (Pembantu Perubatan) sebagai rakan strategik dan penganjur bersama dalam menjayakan 7th NWCC 2025 amat dihargai dan diharapkan dapat memperkukuhkan kapasiti dan pengetahuan anggota kesihatan, khususnya dalam bidang penjagaan luka. Kerjasama ini dijangka memberi impak yang positif dalam memartabatkan penjagaan luka di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.