Mesyuarat Pembangunan Rangka Kerja Kompetensi Pegawai Kualiti bagi Pelaksanaan Pelan National Policy for Quality in Healthcare (NPQH) di bawah Aktiviti SP5: Building Capacity and Capability for Quality Bil 3/2025

Dokumen National Policy for Quality in Healthcare (NPQH) 2022–2026 telah dilancarkan pada Oktober 2021 sebagai panduan strategik dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan negara. Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR) selaku Urusetia Program Quality Assurance (QA) KKM memainkan peranan utama dalam menyelaras dan memantau pelaksanaan dasar ini melalui platform Mesyuarat Technical Working Group (TWG) dan Mesyuarat Jawatankuasa Program QA yang dipengerusikan oleh TKPK (P&ST).

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Aktiviti Strategik Keutamaan 5 (SP5): Building Effective Capacity and Capability for Quality, satu mesyuarat libat urus telah diadakan pada 8 Oktober 2025 di Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH), Setia Alam melibatkan Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal dan pegawai dari Unit Kawalan Infeksi dan Unit Penjagaan Luka daripada semua jenis hospital bagi membincangkan penyelarasan dan pengharmonian deskripsi tugas pegawai Unit Kawalan Infeksi serta Unit Penjagaan Luka di hospital-hospital KKM.

Mesyuarat ini adalah susulan kepada sesi libat urus terdahulu pada 25 Julai 2025, di mana cadangan perluasan skop penyelarasan telah dikemukakan. Penyelarasan ini bertujuan memastikan peranan pegawai kualiti di pelbagai peringkat – JKN, hospital, dan pejabat kesihatan daerah – adalah selaras, saling melengkapi dan selari dengan keperluan semasa sistem kesihatan.

Kerjasama antara IHSR, Unit Kawalan Infeksi, serta Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan telah membolehkan perbincangan yang konstruktif dan menyeluruh dijalankan sepanjang sesi tersebut. Input yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam pembangunan rangka kerja kompetensi pegawai kualiti yang lebih komprehensif dan responsif kepada keperluan lapangan.