Mesyuarat Memuktamadkan Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Infeksi Edisi 2025

Pengukuhan Pencegahan dan Kawalan Infeksi di Kesihatan Primer telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Objektif utama pengukuhan Pencegahan dan Kawalan Infeksi di Kesihatan Primer adalah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan primer yang selamat dan dapat mencegah transmisi jangkitan penyakit berjangkit di kalangan anggota kesihatan dan pesakit. 

Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Infeksi Edisi 2019 telah diwujudkan untuk dijadikan sebagai sumber rujukan bagi memastikan hala tuju yang terancang, pelaksanaan aktiviti berdasarkan polisi serta kesinambungan dalam pelaksanaan program ini. Memandangkan Buku Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Infeksi Edisi 2019 telah digunapakai selama 5 tahun dan perlu ditambah baik dengan maklumat terkini dalam pencegahan dan kawalan infeksi, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga telah mengadakan suatu mesyuarat bersiri untuk menyemak dan mengemaskini buku tersebut, melibatkan ahli Technical Working Group Infection Prevention & Control daripada setiap negeri.

Mesyuarat ketiga pada 8-9 Oktober 2025 bertujuan memuktamadkan draf buku yang terbaharu dengan pembentangan daripada setiap kumpulan dengan input daripada Program Perubatan bagi memastikan penyeragaman daripada segi amalan pencegahan dan kawalan infeksi seperti Hand Hygiene dan PPE serta menyesuaikan amalan IPC dengan amalan klinikal dan persekitaran di klinik kesihatan tanpa menjejaskan risiko jangkitan penyakit.