Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Spesifikasi Ultrasound Doppler Penjagaan Luka Kebangsaan Bil 1/2025

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan luka, khususnya dalam merawat luka diabetic foot ulcer (DFU) dan peripheral vascular ulcer, penggunaan Portable Digital Ultrasound Doppler sebagai alat diagnostik dapat membantu meningkatkan ketepatan penilaian nadi, membolehkan intervensi dan rujukan awal, serta berpotensi mengurangkan morbiditi dan mortaliti pesakit.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Spesifikasi Ultrasound Doppler Penjagaan Luka Kebangsaan telah ditubuhkan, dengan Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan bertindak sebagai sekretariat. Mesyuarat pertama bagi tahun 2025 telah diadakan pada 22 Januari 2025 di Bilik Mesyuarat CPRC (Perubatan) bagi mendengar pembentangan produk daripada dua syarikat pembekal ultrasound doppler, iaitu Hadeco (Jepun) dan Bestman (China).

Mesyuarat ini dihadiri oleh ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pakar ortopedik, pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif, pakar pembedahan vaskular, pakar perubatan keluarga, serta wakil daripada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK). Turut serta adalah wakil daripada Unit Sumber Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan.

Hasil perbincangan dalam mesyuarat ini akan digunakan bagi menyediakan kertas kerja perolehan ultrasound doppler secara pukal untuk dibekalkan kepada klinik penjagaan luka dan klinik kesihatan di seluruh Malaysia. Diharapkan, dengan perolehan alat ini, pesakit yang memerlukan rawatan luka akan mendapat manfaat yang lebih baik melalui penilaian yang lebih tepat dan intervensi awal.