Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan telah ditubuhkan sejak tahun 2009 dengan matlamat untuk menyelaraskan segala aktiviti serta menangani isu-isu teknikal berkaitan perkhidmatan penjagaan luka di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sepanjang lebih sedekad, perkhidmatan ini telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit, khususnya mereka yang mengalami luka kronik. Selain itu, melalui program latihan yang berterusan, perkhidmatan ini juga telah berjaya melahirkan pegawai-pegawai berkemahiran tinggi dalam pengendalian luka serta menyediakan rawatan yang menyeluruh dan holistik.
Mesyuarat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan Bil 1/2025 telah diadakan pada 5 Februari 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Unit Kawalan Infeksi bertindak sebagai urusetia mesyuarat ini, yang telah dihadiri oleh Koordinator Penjagaan Luka Negeri dari bahagian perubatan dan kesihatan awam. Mesyuarat kali ini telah dipengerusikan oleh Mr (Dr) Zairuddin bin Abdullah Zawawi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan.
Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah pembentangan kemas kini daripada empat jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, pembentangan laporan kewangan bagi agihan perbelanjaan pakai buang dan latihan, perbincangan isu-isu berbangkit berkaitan perkhidmatan penjagaan luka di setiap negeri, termasuk cabaran dalam pelaksanaan perkhidmatan serta langkah penyelesaian yang boleh diambil dan juga perbincangan persediaan untuk 7th National Wound Care Conference, yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai 2025 di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.
Mesyuarat ini adalah merupakan platform penting untuk menyelaraskan hala tuju perkhidmatan penjagaan luka, memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan, berkualiti, dan berdaya saing di seluruh negara.



