Persidangan Future Healthcare Asia 2025 bertemakan ‘Empowering Healthcare, from policy to practice’, anjuran Asia Events Group, telah berlangsung pada 18-19 Februari 2025 di Pullman KLCC. Acara ini menghimpunkan profesional dan pembuat dasar kesihatan untuk membincangkan isu-isu kritikal serta penyelesaian inovatif bagi sistem kesihatan Malaysia. Unit Kawalan Infeksi telah diwakili oleh Dr. Farah Syazana Aspar dan Dr. Siti Dalilah Meli.
Persidangan ini menyoroti beberapa cabaran utama dalam sistem kesihatan Malaysia, termasuk peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi menua, serta cabaran pembiayaan kesihatan. Prof. Dato’ Dr. Syed Mohamed Aljunid menegaskan bahawa tiada reformasi kesihatan yang boleh dilakukan tanpa reformasi kewangan dan mencadangkan pelaksanaan Sistem Insurans Kesihatan Nasional. Selain itu, peralihan kepada perkhidmatan berorientasikan hasil seperti Diagnosis-Related Groups (DRG) menggantikan model Fee-for-Service tradisional turut dibincangkan bagi memastikan sistem yang lebih mampan dan adil.
Beberapa inisiatif lain turut diketengahkan, termasuk pemantauan prestasi kesihatan menggunakan data masa nyata dan tepat, seperti yang dikemukakan oleh Dr. Saravanan S.R. Sundaramurthy dari Unit Prestasi Kesihatan. Dr. Noraziani Khamis (IPK, NIH) turut berkongsi inisiatif penambahbaikan kualiti untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit dan kecekapan sistem kesihatan. Selain itu, persidangan ini menampilkan inovasi serantau seperti exoskeleton, Internet of Things (IoT), Rekod Perubatan Elektronik bersepadu dengan AI (EMR-AI), serta AI Perbualan.
Dalam ucapan penutup, YB Menteri Kesihatan menekankan kepentingan model kesihatan mampan dalam menangani populasi menua, kemajuan pesat teknologi AI, serta keperluan mendesak untuk pembiayaan kesihatan yang lestari. Persidangan ini memberikan platform penting untuk membentuk hala tuju sistem kesihatan Malaysia pada masa hadapan.



