Agenda AMR di peringkat nasional dilaksanakan hasil jalinan kerjasama Tripartite Organisation. Terdiri daripada WHO, WOAH dan FAO, ketiga-tiga badan antarabangsa ini telah menggunakan pendekatan One Health dalam pelaksanaan aktiviti di peringkat serantau. Pendekatan yang sama turut diambil dalam pelaksanaan aktiviti di Malaysia, berdasarkan pelan tindakan kebangsaan, MyAP-AMR.
Dalam MyAP-AMR, terdapat 4 bidang keutamaan di mana aktiviti dijalankan merentas sektor kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar, dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, iaitu dalam meningkatkan kesedaran dan pemahaman, mengukuhkan sistem survelan dan penyelidikan, mengurangkan jangkitan penyakit dan mengoptimumkan penggunaan antimikrob dalam sektor-sektor yang berkenaan.
Penilaian aktiviti EU/AMR Tripartite telah diadakan pada 26 November 2025 secara temu ramah berkumpulan dalam talian bersama-sama National Consultant – Antimicrobial Resistance, Dr. Tengku Zetty Maztura Tengku Jamaluddin daripada World Health Organization Representative Office for Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore. Sesi yang dikendalikan oleh wakil EU/Tripartite, Senior Evaluation and Learning Specialist, Mr Ram Khanal telah membincangkan projek-projek yang dilaksanakan dengan sokongan Tripartite dalam tempoh 2023-2025. Antara perkara yang dibincangkan semasa penilaian ini adalah sama ada projek tersebut dijalankan sejajar dengan pelan tindakan yang ditetapkan di peringkat global, seperti WHO Global Action Plan on AMR.
Isu dan cabaran dalam pelaksanaan projek telah turut dibangkitkan, seperti sistem survelan data bersepadu, sokongan kerajaan, pembiayaan dan kepakaran teknikal. Manakala faktor kejayaan seperti komunikasi berkesan dan semangat berpasukan telah dikenalpasti. Seterusnya, cadangan berkenaan keperluan untuk memfokuskan sumber turut dikemukakan memandangkan buat masa sekarang, AMR jua merupakan salah satu komponen dalam agenda lain, seperti Health Security dan One Health, dan penggunaan sumber adalah menggunakan peruntukan sedia ada di peringkat kementerian masing-masing secara gunasama dengan program lain, contohnya seperti kawalan infeksi di KKM.
Penilaian secara lisan ini akan disempurnakan dengan pemberian input secara bertulis dengan sokongan dokumen bagi tujuan pelaporan dan maklum balas yang komprehensif, terutamanya bagi penilaian aspek keberkesanan, kecekapan dan kelestarian projek untuk masa hadapan.


World Health Organization Representative Office for Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore
