Bahagian Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan dan Unit Pencegahan & Kawalan Infeksi, Hospital Sungai Buloh dengan kerjasama Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal telah menganjurkan Bengkel Training The Trainers (TTT) Pengurusan Pesakit Viral Hemorrhagic Fever (VHF) pada 18–19 Ogos 2025 bertempat di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh.
Bengkel ini telah menghimpunkan pakar penyakit berjangkit serta anggota Unit Kawalan Infeksi dari seluruh Malaysia. Objektif utama bengkel adalah untuk membincangkan dan merangka tahap kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dalam mengendalikan kes pesakit VHF, seperti Ebola dan Marburg.
Pada hari pertama, peserta telah mengikuti siri kuliah meliputi Pengenalan kepada common viral hemorrhagic fever oleh Dato’ Suresh Chindabaram, Laboratory and specimen handling oleh pakar mikrobiologi Dr. Sahlawati Mustakim dan Pengurusan tumpahan (spillage management) oleh pihak Radicare. Selain itu, sesi perbincangan mengenai penggunaan Personal Protective Equipment (PPE) oleh petugas kesihatan turut dijalankan, berpandukan garis panduan WHO, CDC dan NHS.
Pada hari kedua, peserta menjalani sesi praktikal bagi mengaplikasikan hasil perbincangan, khususnya dalam proses donning dan doffing PPE. Aktiviti ini bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam prosedur sedia ada serta memastikan keselamatan petugas kesihatan semasa mengendalikan pesakit berjangkit berisiko tinggi.
Bengkel ini diharap dapat memperkukuh keupayaan fasiliti kesihatan dalam aspek kesiapsiagaan terhadap ancaman penyakit berjangkit yang berpotensi menular dengan cepat.





