Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku sekretariat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, telah menganjurkan Bengkel Pelan Tindakan Program Penjagaan Luka Kebangsaan 2026 dan Mesyuarat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan Bil. 2/2025 pada 13 hingga 15 Oktober 2025 bertempat di Hotel Impiana Senai, Johor. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk menilai pelaksanaan aktiviti serta pencapaian program penjagaan luka bagi tahun semasa, di samping merangka pelan tindakan strategik bagi tahun 2026. Program ini telah dihadiri oleh 50 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Koordinator Negeri daripada Bahagian Perubatan dan Kesihatan Awam dari seluruh negara dan pakar-pakar dalam penjagaan luka yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan aktiviti penjagaan luka di peringkat negeri dan fasiliti kesihatan.
Sepanjang bengkel berlangsung, pelbagai isu dan cabaran pelaksanaan program di peringkat negeri telah dibincangkan secara mendalam, termasuk keperluan latihan, penyeragaman pelaporan data, serta strategi untuk memperkukuhkan kolaborasi antara disiplin dalam penjagaan luka. Selain itu, satu sesi audit penjagaan luka turut dijalankan di Unit Penjagaan Luka Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Klinik Kesihatan Bukit Indah sebagai sebahagian daripada ujian rintis (pilot testing) bagi borang audit penjagaan luka yang telah dibangunkan oleh Subcommittee Audit Surveillance. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk menilai kesesuaian dan keberkesanan instrumen audit tersebut sebelum digunapakai secara rasmi di seluruh negara.
Mesyuarat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan Bil. 2/2025 yang diadakan pada 15 Oktober 2025 telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan. Mesyuarat tersebut membincangkan pencapaian utama Program Penjagaan Luka bagi tahun 2025, termasuk kejayaan penganjuran 7th National Wound Care Conference 2025, pembentangan Data Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan bagi tempoh Januari hingga Disember 2024, serta kemas kini daripada empat subcommittee utama iaitu Pressure Injury, Data Surveillance, Audit Surveillance dan Credentialing & Privileging. Setiap subcommittee turut berkongsi kemajuan serta perancangan penambahbaikan yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan bagi memastikan penjagaan luka di fasiliti kesihatan terus ditambah baik secara menyeluruh dan bersepadu di seluruh negara.








