BENGKEL ONE HEALTH INTEGRATED SURVEILLANCE REPORT

Pada Mei 2025, National Landscaping Workshops for Situation Analysis and Strengthening of One Health Integrated Surveillance of AMR and AMU telah dianjurkan oleh Food and Agriculture Organization (FAO), World Health Organization (WHO), World Organisation for Animal Health (WOAH) melalui Projek Serantau Tripartite AMR yang dibiayai oleh European Union (EU) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Bengkel tersebut telah menyatukan pelbagai agensi kebangsaan untuk menilai status semasa dan keperluan pengukuhan survelan bersepadu AMR dan AMU.

Susulan daripada itu, Bengkel One Health Integrated Surveillance Report telah dianjurkan pada 25–26 Ogos 2025 bertempat di Academy of Medicine of Malaysia, Putrajaya. Bengkel ini dikendalikan oleh Unit Kawalan Infeksi, Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM selaku sekretariat National Antimicrobial Resistance Committee (NARC).

Objektif bengkel adalah untuk mengenalpasti aktiviti survelan sedia ada di lapangan, menghimpunkan data pemantauan daripada sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan, perikanan, keselamatan makanan serta alam sekitar, dan seterusnya menghasilkan dokumen nasional One Health Integrated Surveillance Report.

Peserta bengkel telah dibahagikan kepada enam kumpulan kerja bagi membolehkan perbincangan dijalankan secara lebih fokus dan menyeluruh mengikut bidang masing-masing. Kumpulan I (AMR in Human Health) meneliti corak kerintangan antimikrob dalam kalangan pesakit manusia dan perkaitannya dengan rawatan klinikal. Kumpulan II (AMU & AMC in Human Health) memberi tumpuan kepada pola penggunaan dan pemantauan penggunaan antimikrob dalam sektor kesihatan manusia, dengan tujuan memastikan penggunaan ubat yang lebih rasional serta mengurangkan risiko kerintangan.

Sementara itu, Kumpulan III (AMR & AMU in Animal Health) membincangkan survelan dan data penggunaan antimikrob dalam kesihatan haiwan, khususnya dalam bidang veterinar dan penternakan. Kumpulan IV (AMR & AMU in Fisheries) menilai isu berkaitan penggunaan antimikrob dalam akuakultur serta impaknya terhadap rantaian makanan dan alam sekitar.

Di samping itu, Kumpulan V (AMR in Food Safety) mengkaji aspek keselamatan makanan dengan menilai bagaimana kerintangan antimikrob boleh berpindah melalui bahan makanan kepada pengguna. Akhir sekali, Kumpulan VI (AMR in Environment) meneliti peranan alam sekitar sebagai takungan dan laluan penyebaran kerintangan antimikrob, termasuk melalui air sisa dan pencemaran persekitaran.

Pendekatan berstruktur ini membolehkan setiap sektor menyalurkan input serta data pemantauan mengikut kepakaran, seterusnya menyumbang kepada penghasilan One Health Integrated Surveillance Report yang lebih komprehensif dan bersepadu di peringkat nasional.

Hasil bengkel ini diharap dapat memperkukuh koordinasi antara pelbagai sektor serta memastikan pelaksanaan survelan AMR dan AMU secara bersepadu di peringkat nasional melalui pendekatan One Health.