Bengkel Data Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan Bil 1/2025

Hasil daripada perbincangan jawatankuasa kecil data survelan, satu pengkalan data (database) untuk program penjagaan luka yang baharu telah dibangunkan. Oleh itu, satu bengkel Data Survelan Penjagaan Luka Kebangsaan Bil 1/2025 telah diadakan pada 3 hingga 4 Februari 2025 bertempat di Kompleks Setia Perdana. Bengkel selama dua hari ini bertujuan untuk melatih peserta dalam membangunkan rangka kerja (framework) database penjagaan luka, menyelenggara dan memberi latihan (training) di peringkat negeri masing-masing. 

Program penjagaan luka telah mula diperkenalkan sejak tahun 2009, manakala pengumpulan data survelan penjagaan luka telah dijalankan sejak tahun 2015. Seiring dengan perkembangan teknologi dan inisiatif pendigitalan sektor kesihatan oleh KKM, sistem pengumpulan data kini dalam talian dan beroperasi secara langsung, menyediakan kemas kini masa nyata dari seluruh negara.  Ini akan meningkatkan kecekapan pengurusan data dan analisis bagi tujuan perancangan serta penambahbaikan perkhidmatan.

Bengkel ini telah dihadiri oleh 97 peserta, terdiri daripada Koordinator Penjagaan Luka Negeri dari bahagian Perubatan dan Kesihatan Awam, pegawai yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan penjagaan luka di setiap negeri serta pegawai IT Jabatan Kesihatan Negeri. Hasil daripada bengkel ini adalah sebahagian daripada perancangan transformasi digital data penjagaan luka secara menyeluruh, selari dengan hala tuju Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkasakan digitalisasi penjagaan kesihatan.