AWCA & 7th Global Wound Conference 2025

AWCA & 7th Global Wound Conference (GWC 2025) yang bertemakan “Woundformers: Transforming Care Together” telah berlangsung dengan jayanya pada 10 – 12 Oktober 2025 bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Bandar Sunway. Persidangan bertaraf antarabangsa ini merupakan pengenalan kepada World Union of Wound Healing Societies Conference (WUWHS) 2026, dan menekankan pendekatan holistik serta multidisiplin dalam penjagaan luka. Acara ini dianjurkan di bawah pimpinan Malaysian Society of Wound Care Professionals (MSWCP) dengan sokongan daripada World Union of Wound Healing Societies (WUWHS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta pelbagai rakan strategik lain.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, yang dalam ucapan perasmiannya menekankan kepentingan kolaborasi antara pelbagai disiplin dan sektor dalam memperkukuhkan penjagaan luka di Malaysia. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada MSWCP dan semua pihak terlibat atas usaha menganjurkan platform antarabangsa yang dapat mempertingkatkan keupayaan profesional kesihatan tempatan dan memperkukuhkan reputasi negara di peringkat global.

Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan turut dijemput menghadiri persidangan ini selaku Sekretariat Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, sebagai tanda komitmen berterusan Kementerian dalam memperkukuhkan kualiti perkhidmatan penjagaan luka di Malaysia. Sepanjang persidangan, pelbagai pengetahuan baharu berkaitan teknologi dan pendekatan terkini dalam rawatan luka telah dikongsi, termasuk inovasi dalam terapi luka kronik, penggunaan bahan berpandukan bukti saintifik, serta model kolaborasi antara disiplin. Di samping itu, penyertaan ini turut membuka ruang kepada jaringan profesional (networking) yang luas antara pakar tempatan dan antarabangsa, memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik global dalam bidang penjagaan luka. Persidangan ini sekali gus menjadi platform penting untuk memperkasa keupayaan nasional dan mengukuhkan persediaan negara menjelang WUWHS 2026.