World Antimicrobial Resistance Awareness Week (WAAW) merupakan sambutan tahunan yang dianjurkan di seluruh dunia dari 18 hingga 24 November bagi meningkatkan kesedaran mengenai kerintangan antimikrob (AMR) serta menggalakkan penggunaan antibiotik secara bijaksana. Bagi tahun 2025, kempen peringkat kebangsaan memberi tumpuan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan primer di sektor kerajaan dan swasta dengan tema “Act Now: Protect Our Present, Secure Our Future”.
Sebagai salah satu aktiviti bersempena kempen WAAW 2025, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan, dengan kerjasama World Health Organization (WHO), European Union (EU) dan Malaysian Society of Infection Control and Infectious Disease (MyICID) telah menganjurkan satu sesi Roundtable Discussion on Antimicrobial Stewardship (AMS) Policy Dialogue pada 20 November 2025 di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. Sesi ini diadakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap polisi berkaitan AMR dan AMS, memperkukuhkan jalinan kerjasama dalam kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan primer, pakar perubatan kesihatan keluarga dan pakar AMS, serta menyediakan platform bagi pemimpin-pemimpin kesihatan untuk berbincang mengenai perkembangan terkini, cabaran serta strategi berkaitan AMS/AMU.
Rundingan meja bulat ini telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Ismuni bin Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) mewakili YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, dan dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Norsiah binti Ali, Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Puan Syahida binti Che Embi, Timbalan Pengarah Bahagian Amalan & Perkembangan Farmasi, perkhidmatan kepakaran perubatan penyakit berjangkit dan perubatan keluarga, Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta bersama-sama dengan wakil daripada WHO Representative Office to Malaysia, Brunei Darussalam and Singapore.
YBhg. Dato’ Dr. Suresh Kumar Chidambaram selaku Coordinator Human Health, National Antimicrobial Resistance Committee telah membentangkan National Surveillance on Antimicrobial Consumption (NSAC), ProtectHealth initiatives to improve antimicrobial usage, Audit on appropriate antibiotic use in primary care dan Optimising antibiotics in primary care. Seterusnya, perbincangan bersama pemegang taruh seperti ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd, Medical Device Authority (MDA), Malaysian Medical Association (MMA), Malaysian Society of Infection Control and Infectious Disease (MyICID), Academy of Family Physicians of Malaysia (AFPM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) dan Malaysian Family Medicine Specialists Association (FMSA).
Secara keseluruhan, sesi dialog ini menjadi platform penting bagi mengukuhkan komitmen nasional dalam mempertingkatkan pelaksanaan AMS di seluruh sektor kesihatan. Ia juga membantu memupuk keselarasan polisi dan tindakan kolektif bagi menangani ancaman AMR, sekaligus memastikan kesinambungan keberkesanan rawatan dan kelestarian sistem kesihatan negara untuk generasi akan datang.






