7th National Wound Care Conference 2025

7th National Wound Care Conference 2025 telah berjaya dianjurkan dari 14 hingga 16 Julai 2025 bertempat di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang. Persidangan ini dianjurkan oleh Unit Kawalan Infeksi, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Malaysian Wound Care Association (MyWCA), dan Kelab Sukan dan Kebajikan ILKKM Seremban (Pembantu Perubatan).

Bertemakan “Experience to Excellence: Transforming Wound Care Beyond Surface Healing”, persidangan ini menghimpunkan lebih 800 peserta dari seluruh negara, khususnya dalam kalangan anggota kesihatan sektor awam dan swasta yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan luka.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), YBhg. Dato’ Indera Dr. Nor Azimi binti Yunus. Turut hadir di majlis perasmian ialah Dr Azlihanis binti Abdul Hadi, Timbalan Pengarah Cawangan Penilaian Risiko dan Survelan Klinikal, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin, Mr (Dr) Zairuddin bin Abdullah Zawawi selaku pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan dan YBhg. Dato Dr Azuhairy bin Azid, pengerusi bersama 7th National Wound Care Conference.

Sebanyak 32 orang penceramah dan moderator dari dalam dan luar negara, merangkumi pelbagai kepakaran dalam bidang penjagaan luka, telah dijemput untuk menyampaikan sesi plenari, ceramah dan juga sesi praktikal semasa preconference. Di samping itu, pameran industri oleh rakan strategik turut diadakan sebagai platform perkongsian teknologi dan inovasi terkini dalam penjagaan luka.

Sebanyak 83 abstrak penyelidikan telah diterima oleh pihak penganjur daripada pelbagai fasiliti kesihatan seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 40 abstrak telah terpilih untuk dipamerkan dalam bentuk poster, manakala 10 penyelidikan terbaik telah diberi peluang untuk pembentangan lisan di hadapan panel penilai profesional. Penglibatan aktif dalam penyelidikan dan pembentangan ini mencerminkan komitmen tinggi petugas kesihatan dalam meningkatkan mutu penjagaan luka berdasarkan bukti (evidence-based practice) dan inovasi klinikal.

Persidangan selama 3 hari ini telah berjaya mencapai objektif utama penganjuran persidangan kali ini iaitu memperkasa pengetahuan, meningkatkan kompetensi, dan memupuk inovasi dalam kalangan penyedia perkhidmatan penjagaan luka agar penyampaian perkhidmatan yang lebih holistik dan berkesan dapat dicapai di fasiliti masing-masing.