6th National Wound Care Conference 2023

6th National Wound Care Conference 2023

Pada 24 Mei 2023, YBhg. Dato’ Dr Asmayani Binti Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) telah merasmikan 6th National Wound Care Conference 2023 yang bertempat di Universiti MAHSA, Bandar Saujana Putra. Konferens yang berlangsung selama 3 hari ini telah dianjurkan oleh Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan dan Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan dengan kerjasama Malaysian Society of Wound Care Professionals, Malaysia Association of Wound Clinicians, dan Kelab Sukan & Kebajikan ILKKM (Pembantu Perubatan).Persidangan ini menghimpunkan seramai 605 petugas kesihatan yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan daripada pelbagai disiplin, jururawat, penolong pegawai perubatan serta peserta yang terlibat di dalam penjagaan luka. Dengan tema “Wound Care: A Decade in Malaysia”, konferens pada kali ini meraikan perjalanan dan pencapaian Program Penjagaan Luka Kebangsaan yang ditubuhkan sejak sedekad yang lalu. Pada majlis perasmian persidangan, Manual Penjagaan Luka (Wound Care Manual) 2023 juga telah dilancarkan. Edisi kedua manual ini menekankan kolaborasi pelbagai disiplin dan penggunaan teknologi terkini seperti “advanced wound dressings”, “negative pressure wound therapy” dan lain-lain inovasi dalam perawatan penjagaan luka.Sejak penubuhan Program Penjagaan Luka Kebangsaan pada tahun 2009, pelbagai kerjasama telah dijalankan dan garis panduan seperti Manual Penjagaan Luka dan Modul Latihan Penjagaan Luka telah dibangunkan untuk memastikan pengurusan penjagaan luka yang berkualiti di Malaysia. Di dalam ucaptama YBhg Dato’ TKPK (P), beliau telah menekankan kepentingan kerjasama pelbagai disiplin di dalam penjagaan luka bagi memastikan perawatan pesakit adalah pada tahap standard tertinggi berdasarkan bukti saintifik dan amalan terbaik. Selain itu, para peserta persidangan diingatkan mengenai cabaran sektor kesihatan di masa hadapan dengan populasi negara yang semakin menua dan beban berganda penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit berjangkit. Turut hadir sama di majlis perasmian adalah YBrs Dr Mohd Azman Yacob, Pengarah Perkembangan Perubatan, YBrs Dr Normala Hj. Basiron, Pengerusi Jawatankuasa Penjagaan Luka Kebangsaan, YBrs Dr Zairudin Abdullah Zawawi dan YBrs Dr Suraya Amir Husin, Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur NWCC 2023.