Sesi Perbincangan Berkaitan Pelaporan Wabak, Khususnya Yang Melibatkan Jangkitan Patogen Antimicrobial Resistant (AMR) Di Hospital Dan Institusi Perubatan Di Bawah Kementerian Kesihatan Malaysia

Satu kerjasama strategik antara Unit Kawalan Infeksi, KKM dan World Health Organization (WHO) Country Office Malaysia serta WHO Regional Office for the Western Pacific (WPRO) melalui pelaksanaan misi lawatan teknikal bagi memperkukuh surveilan AMR, kapasiti makmal, dan respons terhadap wabak AMR di Malaysia. Antara aktiviti utama di bawah misi ini ialah AMR Outbreak Response in Hospital Settings Train-the-Trainer Workshop, yang telah dilaksanakan pada 4 hingga 6 September 2023 dengan kerjasama National Institute of Infectious Diseases (NIID), Jepun. Bengkel ini berasaskan garis panduan serantau WPRO bertajuk “Responding to Outbreaks of Antimicrobial-resistant Pathogens in Health-care Facilities: Guidance for the Western Pacific Region.”

Berdasarkan hasil bengkel tersebut, keperluan penubuhan Outbreak Management Team (OMT) di setiap hospital dan institusi perubatan KKM telah dikenal pasti sebagai salah satu langkah penambahbaikan utama. Penubuhan pasukan ini bertujuan untuk memastikan tindak balas pantas, pelaksanaan langkah kawalan jangkitan yang berkesan serta penyelarasan bersepadu dalam pengurusan penularan jangkitan patogen AMR. Garis panduan berkenaan penubuhan OMT ini kemudiannya telah dibentangkan dan dipersetujui semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan (JKKIAK) pada 4 Julai 2024, dan seterusnya arahan rasmi pelaksanaan telah dikeluarkan pada 6 September 2024.

Sehubungan itu, satu sesi perbincangan berkaitan pelaporan wabak jangkitan patogen antimicrobial-resistant (AMR) diadakan pada 23 Jun 2025 secara hybrid melibatkan pakar perubatan penyakit berjangkit, wakil dari Bahagian Kawalan Penyakit, serta Unit Kawalan Infeksi, KKM. Sesi perbincangan ini merupakan langkah susulan penting bagi memperincikan pelaksanaan garis panduan OMT, terutamanya berkaitan penambahbaikan proses pelaporan wabak jangkitan patogen AMR dengan memberi tumpuan kepada proses penilaian risiko dan keperluan notifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Inisiatif ini bertujuan memastikan pelaporan dan tindak balas terhadap wabak AMR di fasiliti kesihatan KKM dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik, pantas dan berkesan selaras dengan pendekatan pengurusan risiko bersepadu.