National Infection Prevention and Control (IPC) Summit 2025 dan sambutan World Hand Hygiene Day 2025

Pada 5 Mei 2025, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal, Bahagian Perkembangan Perubatan dengan jayanya telah menganjurkan Sambutan World Hand Hygiene Day 2025 Peringkat Kebangsaan bertempat di Putrajaya International Convention Centre. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Perkembangan Perubatan, dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Ketua Kepakaran Penyakit Berjangkit, YBhg. Dato’ Dr. Chow Ting Soo; Dr. Azlihanis binti Abdul Hadi, Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal; serta YBhg. Dato’ Dr. Suresh Kumar Chidambaram, Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit.

Sambutan ini merupakan acara tahunan yang sinonim dengan inisiatif World Health Organization (WHO) dan kini memasuki tahun ke-17 penganjurannya. Tema tahun ini, “ SAVE LIVES: Clean Your Hands 2025 – It might be gloves. It’s always hand hygiene .”, menekankan kepentingan memastikan amalan kebersihan tangan yang betul mengikut prinsip WHO 5 Moments for Hand Hygiene , walaupun ketika menggunakan sarung tangan, demi mengurangkan risiko jangkitan, khususnya dalam persekitaran fasiliti kesihatan.

Lebih istimewa, buat julung kalinya National Infection Prevention and Control (IPC) Summit 2025 telah diadakan serentak bersempena sambutan World Hand Hygiene Day 2025, berlangsung dari 5 hingga 7 Mei 2025. Persidangan ini telah menghimpunkan seramai 250 peserta yang terdiri daripada anggota profesional kesihatan, khususnya dari pasukan kawalan infeksi dari Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Universiti, dan Hospital Angkatan Tentera dari seluruh negara. Para peserta berpeluang berkongsi pengetahuan, kemahiran, serta pengalaman dalam melaksanakan Quality Improvement Activities yang berimpak tinggi dengan menggunakan strategi multimodal. Perkongsian ini bukan sahaja membuka ruang untuk kolaborasi antara fasiliti, malah diharapkan dapat menjadi rujukan serta panduan kepada hospital-hospital lain dalam melaksanakan inisiatif amalan terbaik yang praktikal dan terbukti keberkesanannya, selaras dengan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara.