MULTI-COUNTRY MEETING: MAINSTREAMING ANTIMICROBIAL RESISTANCE INTERVENTIONS THROUGH A PRIMARY HEALTH CARE (PHC) APPROACH

The Asia-Europe Foundation Public Health Network (ASEF PHN) telah menyokong usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani cabaran yang semakin meningkat berkaitan kerintangan antimikrob (AMR) dalam semua Rakan ASEM (Asia-Europe Meeting) dan seterusnya, dengan memfokus kepada intervensi teras AMR yang mengukuhkan sistem kesihatan ke arah pendekatan penjagaan kesihatan primer (Primary Healthcare – PHC).

Penjagaan Kesihatan Primer (Primary Healthcare – PHC) memainkan peranan penting kerana ia melibatkan keseluruhan spektrum penjagaan kesihatan, merentas sektor dan memberi kuasa kepada individu serta komuniti. Fungsi kesihatan awam asas dan penjagaan primer adalah komponen utama dalam pendekatan PHC – ini amat penting memandangkan sebanyak 80% antibiotik di preskripsi di peringkat penjagaan primer, iaitu titik pertemuan utama antara pesakit dan sistem kesihatan. Oleh itu, pengukuhan sistem kesihatan melalui pendekatan PHC adalah sangat penting bagi mencegah dan mengurangkan AMR. 

Pada 18 – 20 Mac 2025, wakil Unit Kawalan Infeksi telah berpeluang untuk menyertai 

Multi-country Meeting: Mainstreaming Antimicrobial Resistance Interventions through a Primary Health Care (PHC) Approach yang diadakan di Bangkok, Thailand. Mesyuarat yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kerajaan Thailand dan the Asia-Europe Foundation Public Health Network (ASEF PHN), bertujuan memberi peluang kepada focal point AMR dan PHC dari pelbagai negara untuk bekerjasama dalam mengukuhkan orientasi sistem kesihatan mereka ke arah pendekatan PHC, dengan fokus khusus terhadap perkhidmatan di peringkat penjagaan primer serta menangani AMR.

Tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk mempromosikan tindakan terhadap AMR di peringkat PHC melalui perkongsian amalan terbaik dan pengajaran daripada projek perintis pelbagai negara. Projek yang diterajui oleh WHO dan disokong oleh ASEF, telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 dan 2024 di empat negara rakan ASEM iaitu;  Indonesia, Thailand, Kazakhstan, dan Sweden. Ia bertujuan menguji pelaksanaan AMR PCA WHO merentas Asia dan Eropah. Penemuan praktikal daripada pelaksanaan projek ini akan memberi panduan berguna kepada negara ASEM lain dalam merangka strategi menangani AMR.

Malaysia telah melaksanakan strategi AMR bersepadu melalui pendekatan kesihatan primer sejak sekian lama, memastikan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan AMR dimasukkan dalam dasar dan pelaksanaan sistem kesihatan negara. Antara inisiatif utama Malaysia dalam menangani AMR melalui pendekatan PHC adalah; 

📌 Penubuhan National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) dan Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan (NIACC) memastikan pendekatan yang diselaras merentas sektor bagi menangani AMR secara holistik.

📌 Pelaksanaan pemantauan komuniti terhadap penggunaan antimikrobial (AMU) dan AMR di fasiliti PHC membekalkan data penting bagi merangka intervensi yang lebih berkesan.

📌 Program Antimicrobial Stewardship (AMS) telah diterapkan di fasiliti PHC sejak 2014 bagi memastikan preskripsi antibiotik dilakukan secara rasional melalui garis panduan klinikal 📖, audit pemantauan 📑 dan pendidikan kepada pengamal perubatan 🎓.

📌 Malaysia turut mengguna pakai klasifikasi WHO AWaRe dalam mengoptimumkan strategi rawatan.

📌 Kempen kesedaran AMR dijalankan secara meluas melalui media sosial 📱, televisyen 📺, radio 📻 serta program pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi 🎓.

📌 Inisiatif MyMediSAFE telah menyediakan lebih daripada 700 pusat pengumpulan 🏪 untuk pelupusan ubat-ubatan yang tidak digunakan secara selamat.

📌 Program Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) di fasiliti PHC mempertingkatkan amalan kebersihan dan pencegahan jangkitan.

📌 Program imunisasi yang kukuh terus melindungi komuniti daripada penyakit berjangkit.

📌 Amalan Kawalan Jangkitan dan Pencegahan (IPC) diterapkan dalam PHC bagi mengurangkan jangkitan serta penggunaan antibiotik yang tidak perlu.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini menegaskan komitmen negara dalam memperkukuh sistem kesihatan melalui pendekatan PHC yang berteraskan komuniti dan responsif kepada cabaran global seperti AMR. Pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja menyokong Matlamat Kesihatan Sejagat (UHC), tetapi juga membina daya tahan sistem kesihatan dalam menghadapi ancaman pandemik masa hadapan.