MESYUARAT PENYELARASAN NATIONAL ANTIMICROBIAL RESISTANCE COMMITTEE (NARC) BERSAMA JABATAN PERTANIAN MALAYSIA (DOA)

Mesyuarat Penyelarasaan National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) bersama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA) telah diadakan pada 24 April 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Timbalan Pengarah Kesihatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Putrajaya. Mesyuarat ini merupakan salah satu inisiatif berterusan di bawah pendekatan One Health yang menyatukan sektor kesihatan manusia, haiwan, keselamatan makanan dan persekitaran dalam menangani isu kerintangan antimikrob (AMR) di Malaysia.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Dr. Suresh Kumar Chidambaram, Pakar Perunding Kanan Perubatan Penyakit Berjangkit selaku Co-coordinator NARC (Human Health), Dr. Rohaya Mohd Ali, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar selaku Co-coordinator NARC (Animal Health), Dr. Nor Farah Bakhtiar sebagai sekretariat NARC (Human Health), Dr. Tariq bin Jaafar, Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Awam Veterinar sebagai sekretariat NARC (Animal Health), serta wakil-wakil daripada Jabatan Pertanian Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Dalam mesyuarat tersebut, Dr. Nor Farah Bakhtiar telah membentangkan peranan, struktur dan fungsi NARC serta menekankan kepentingan penglibatan sektor pertanian secara rasmi dalam platform ini. Beliau menjelaskan bahawa penggunaan antimikrob dalam sektor pertanian berpotensi menyumbang kepada peningkatan kerintangan antimikrob yang boleh memberi impak rentas sektor, termasuk kesihatan manusia dan haiwan. Justeru, penyertaan aktif Jabatan Pertanian Malaysia dalam NARC adalah penting bagi memastikan pemantauan dan pelaksanaan intervensi AMR dapat dilakukan secara menyeluruh, sistematik dan bersepadu, selaras dengan Strategi Pelan Tindakan Nasional AMR.Turut dikongsikan bahawa pendekatan One Health di peringkat global sebelum ini melibatkan kerjasama Tripartite antara World Health Organization (WHO), Food and Agriculture Organization (FAO) dan World Organisation for Animal Health (WOAH). Namun, mulai tahun 2022, United Nations Environment Programme (UNEP) telah disertakan secara rasmi menjadikan kerjasama ini sebagai Quadripartite Alliance bagi menangani AMR secara lebih holistik, termasuk dari aspek persekitaran. Perkembangan ini mengukuhkan lagi keperluan untuk melibatkan sektor pertanian dan alam sekitar dalam strategi pengawalan AMR di peringkat negara.