MESYUARAT NATIONAL ANTIMICROBIAL RESISTANCE COMMITTEE (NARC), 12 SEPTEMBER 2024

Antimicrobial Resistance (AMR) merupakan ancaman kesihatan global utama yang diiktiraf oleh WHO sebagai halangan signifikan untuk mencapai Universal Health Coverage (UHC) dan Sustainable Development Goals (SDGs) menjelang 2030. AMR sudah menyebabkan anggaran 1.27 juta kematian secara global setiap tahun, dengan ramalan menunjukkan ia boleh menyebabkan sehingga 10 juta kematian setiap tahun menjelang 2050 jika tidak ditangani.

Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam inisiatif AMR melalui penubuhan National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) dan pelaksanaan dua Pelan Tindakan Kebangsaan yang komprehensif mengenai AMR iaitu Malaysia Action Plan on AMR (MyAP-AMR) 2017-2021 dan MyAP-AMR 2022-2026. Melalui pendekatan One Health, pada tahun ini kesemua sektor iaitu kesihatan, veterinar, pertanian dan alam sekitar telah terlibat dan aktiviti pengawalan AMR adalah lebih menyeluruh seperti yang disarankan oleh badan Quadripartite yang terdiri daripada World Health Organization (WHO), World Organisation for Animal Health (WOAH), Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) dan United Nation Environmental Program (UNEP).

Pada 12 September 2024, Unit Kawalan Infeksi, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan telah menganjurkan mesyuarat NARC yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar. Mesyuarat ini dihadiri oleh pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pertahanan Malaysia, serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Turut menghadiri mesyuarat ini adalah wakil-wakil dari universiti, badan profesional dari kesihatan manusia dan kesihatan haiwan, serta badan NGO.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada pembentangan pencapaian setengah tahun pelan tindakan kedua, MyAP-AMR 2022-2026, serta membincangkan isu-isu dan cabaran dalam pelaksanaannya. Pendekatan One Health memainkan peranan penting dalam memastikan setiap strategi yang digariskan dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui integrasi antara semua sektor yang terlibat. Usaha memperkukuh kerjasama dan tindakan yang lebih komprehensif diperlukan untuk menangani masalah AMR yang semakin kritikal di Malaysia.