Global AMR Innovation Fund (GAMRIF) ialah dana bantuan UK yang menyokong penyelidikan dan pembangunan di seluruh dunia untuk mengurangkan ancaman kerintangan antimikrob (AMR) di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs).
GAMRIF telah dilancarkan pada tahun 2016, sebagai tindak balas kepada Kajian Lord O’Neill mengenai AMR, yang mengesyorkan penubuhan dana global untuk penyelidikan peringkat awal dan R&D dalam bidang yang tidak mempunyai insentif komersial yang kukuh.
GAMRIF menyokong penyelidikan inovatif peringkat awal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan AMR yang kurang mendapat pembiayaan, demi manfaat rakyat di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMICs). GAMRIF bekerjasama dengan organisasi penyelidikan, kerajaan, dan industri di seluruh dunia untuk:
- Menjalin perkongsian penyelidikan antarabangsa dan menyokong pertandingan penyelidikan yang membiayai inovasi serta pembangunan teknologi baharu bagi menangani AMR.
- Menggalakkan pelaburan daripada rakan kongsi dan penderma lain bagi menyokong pembiayaan yang mampan untuk AMR.
- Menubuhkan perkongsian penyelidikan global menggunakan pendekatan One Health.
- Membiayai projek yang akan membangunkan penyelesaian khusus untuk LMICs.
Pada 11-13 Mac 2025, Unit Kawalan Infeksi dan wakil National Antimicrobial Resistance Committee (NARC) telah diberi peluang untuk menyertai Global AMR Innovation Fund (GAMRIF) Summit 2025. Sidang kemuncak antarabangsa ini adalah anjuran UK Department of Health and Social Care (DHSC) dan telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia. Turut hadir di majlis perasmian tersebut adalah Tuan David Wallace, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur; Puan Catherine West MP, Timbalan Setiausaha Negara (Indo-Pasifik), Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), UK; Dr. Rabindra Abeyasinghe, Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura.
Penganjuran sidang kemuncak antarabangsa ini adalah untuk membincangkan penggunaan penyelidikan dan inovasi dalam menangani AMR serta memperkukuh kerjasama di peringkat global. Sidang kemuncak ini menghimpunkan penyelidik, rakan kongsi, pembiaya, pengawal selia, pembuat dasar, dan pakar dalam bidang AMR bagi menggalakkan kolaborasi baharu, perkongsian ilmu, serta penyelarasan penyelidikan yang lebih berkesan dan memberi impak tinggi. Acara ini juga diadakan enam bulan selepas High-Level Meeting on AMR di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-79, dan menyediakan peluang unik untuk memperkukuh usaha inovasi dalam menyokong deklarasi politik yang telah diterima pakai oleh PBB.
Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak ini memberikan peluang penting untuk memperkukuh usaha negara dalam menangani AMR melalui manfaat yang diperoleh daripada GAMRIF. Sidang ini juga membuka ruang untuk Malaysia memperluas kerjasama strategik bersama rakan global dalam penyelidikan dan pembangunan AMR, termasuk dengan inisiatif antarabangsa seperti CARB-X, GARDP, dan BactiVac, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam jaringan penyelesaian AMR berteraskan pendekatan One Health.




