BENGKEL PEMBANGUNAN KRITERIA SENARAI PENYAKIT DI JADUAL PERTAMA AKTA 342 DAN MANUAL PENILAIAN SISTEM SURVELAN KEBANGSAAN

Berdasarkan dapatan Audit Joint External Evaluation (JEE) 2019, telah dikenal pasti keperluan untuk melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap sistem survelan dan notifikasi mandatori penyakit berjangkit di Malaysia. Penilaian ini penting bagi memastikan sistem survelan kebangsaan kekal responsif, efektif, dan bersedia dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit yang sentiasa berubah. Inisiatif ini turut sejajar dengan Pelan Tindakan Malaysia National Action Plan for Health Security (MyNAPHS) 2025–2030 di bawah Technical Area D2: Surveillance, yang menekankan kepentingan pengukuhan mekanisme pemantauan dan respons kesihatan awam negara.

Sehubungan itu, Sektor Survelan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit (BKP) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Kriteria Senarai Penyakit di Jadual Pertama Akta 342 dan Manual Penilaian Sistem Survelan Kebangsaan pada 22–24 April 2025, bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya, Kompleks F, Putrajaya.

Bengkel ini bertujuan untuk:

  • Membincangkan dan memformulasi kriteria yang seragam, telus dan berasaskan bukti bagi kemasukan atau pengeluaran penyakit dalam Jadual Pertama Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
  • Membangunkan struktur dan instrumen penilaian sistem survelan penyakit berjangkit kebangsaan yang komprehensif dan praktikal selaras dengan keperluan semasa dan piawaian antarabangsa.

Output utama daripada bengkel ini termasuk:

  • Draf awal kriteria standard untuk semakan dan pengemaskinian senarai penyakit dalam Jadual Pertama Akta 342 yang merangkumi elemen seperti beban penyakit, kebolehtularan, kesan kesihatan awam, dan keperluan tindak balas kesihatan.
  • Kerangka Manual Penilaian Sistem Survelan Kebangsaan yang merangkumi dimensi keberkesanan pengesanan, pelaporan, analisis, maklum balas serta penggunaan data dalam membuat keputusan.
  • Cadangan proses penilaian berkala dan mekanisme semakan semula senarai penyakit serta keberkesanan sistem survelan secara berterusan.
  • Konsensus awal daripada pakar-pakar teknikal pelbagai disiplin sebagai asas kepada sesi libat urus selanjutnya bersama pihak berkepentingan sebelum pemuktamadan.

Bengkel ini turut menyediakan platform perbincangan teknikal dan pertukaran pandangan antara pakar-pakar dan subject matter expert dari pelbagai bahagian dan fasiliti yang terlibat dalam pengurusan penyakit berjangkit di Malaysia.